Selasa, 20 Disember 2016

KL semakin hampir, P. Pinang bernafsu tebus kehampaan

ARKIB : 27/04/2000
KUALA Lumpur semakin hampir mengulangi kejayaan, naib juara Terengganu kian galak dalam usaha menebus kekecewaan manakala Pulau Pinang dan Sarawak bersedia menyekat hasrat lawan masing-masing dalam kempen bola sepak Piala FA yang sudah memasuki peringkat separuh akhir, lapor JOHARI SHAWAL.

Sesudah tamat aksi suku akhir kelmarin, juara bertahan, Kuala Lumpur jelas tidak mahu lagi menoleh ke belakang.

Impian mereka untuk merangkul mahkota kejuaraan buat kali keempat dalam tempoh 10 tahun ini dan kali kedua berturut-turut kian menghampiri kenyataan.

Kemenangan agregat 2-1 ke atas Negeri Sembilan, sesudah berjaya mengikat si Rusa 0-0 di tempat sendiri kelmarin, membuktikan anak buah Mat Zan Mat Aris memiliki tekad tinggi untuk terus menyimpan piala kebanggaan itu.

Tetapi lawan mereka pada separuh akhir adalah Pulau Pinang, pasukan yang amat bernafsu untuk menebus kecewa sesudah terlepas mendakap piala itu tiga musim lalu.

Kekalahan 1-0 kepada Selangor pada perlawanan akhir kempen 1997, melebarkan lagi penantian skuad Pulau Mutiara untuk menjulang kejuaraan buat pertama kali.

Tentunya musim ini adalah pentas terbaik buat pasukan yang kali ini dibimbing Irfan Bakti untuk merampas piala itu, biarpun terpaksa berdepan dengan kekentalan barisan muda Mat Zan.

Namun berbanding Kuala Lumpur, catatan Pulau Pinang pada suku akhir agak berbeza. Mereka menang 3-1 pada suku akhir pertama di tempat sendiri tetapi tumbang 2-1 di gelanggang lawan. Bagaimanapun mereka menang agregat 4-3.

Keadaan itu pasti meresahkan Irfan apabila skuadnya berkunjung ke Cheras untuk perlawanan pertama separuh akhir, 16 Mei ini.

Cerita serupa dilalui Terengganu, yang tewas penentuan sepakan penalti kepada Kuala Lumpur pada perlawanan akhir musim lalu, apabila kecundang 3-1 kepada Pahang di tempat sendiri kelmarin.

Mujur bekalan kemenangan 3-0 di gelanggang lawan membolehkan pasukan Yunus Alif melangkah ke separuh akhir dengan agregat 4-3, biarpun dengan cara kurang bergaya.

Berdasarkan keputusan yang dicatat Pulau Pinang dan Terengganu dalam suku akhir kedua itu, pasti ia membuka peluang buat Kuala Lumpur dan Sarawak untuk melangkah ke akhir.

Mungkin inilah masa bagi skuad Jalil Rambli, lawan Terengganu pada separuh akhir, untuk kembali menguasai pentas Piala FA sesudah kali terakhir menjulangnya pada 1992.

Apa pun, pentas Piala FA berbeza dengan pertandingan liga. Keempat-empat pasukan tetap berpeluang ke akhir biarpun keputusan yang dicatat tidak mencerminkan kesungguhan masing-masing dalam kempen ini.

Cuma percaturan Mat Zan, Irfan, Yunus dan Jalil serta kepakaran kesebelasan pemain setiap pasukan di atas padang sahaja menentukan keputusan yang bakal diraih masing-masing.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4TNC7v9dU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan