ARKIB : 28/09/1999
PERTEMBUNGAN antara dua juara,
Kuala Lumpur dan Pahang dalam bola sepak Piala Malaysia malam ini dianggap
paling menarik daripada enam perlawanan yang berlangsung.
Juara Piala FA, Kuala Lumpur
pantas memberi amaran mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada Pahang
apabila mereka bertemu pada perlawanan kedua kumpulan B di Stadium KLFA,
Cheras.
Skuad muda itu kini sedang menyusun
strategi terbaik untuk mengekang juara Perdana Satu itu yang dianggap jurulatih
Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris sebagai pasukan terbaik musim ini.
''Pahang memiliki pemain yang
benar-benar komited dalam semua perlawanan dan mempunyai pemain berkaliber dan
ternama. Gandingan Azizul Kamaluddin-Wan Rohaimi Ismail nampaknya semakin
serasi dan kerap menemui sasaran.
''Begitu juga bahagian tengah
yang dikemudi Ahmad Shahruddin Rosdi dan Tengku Hazman Raja Hassan. Semua
mereka adalah pemain kebangsaan.
''Memang saya risau pertemuan
dengan mereka malam esok (ini) apalagi Kuala Lumpur dibarisi pemain muda yang
kurang pengalaman... tetapi tidak bermakna kami akan memberi laluan mudah
kepada mereka,'' kata Mat Zan, semalam.
Menurut jurulatih itu, walaupun
sedar mereka bakal berdepan dengan masalah, semua pemain tetap bersemangat
untuk menebus kecewa gagal pada perlawanan pembukaan dengan Brunei, Sabtu
lepas.
''Selepas tewas di Brunei,
perlawanan di tempat sendiri ini akan kami gunakan sebaik-baiknya. Harap-harap
kami dapat mengulangi kemenangan dalam liga tahun ini di sini,'' katanya.
Dalam kempen Liga Perdana Satu
musim ini, Kuala Lumpur mengejutkan pasukan juara itu 1-0 di Cheras selepas
seri tanpa jaringan di Kuantan.
Sabtu lalu, Kuala Lumpur
mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan penyerangnya, Mohd.
Nizaruddin Yusof tetapi kelalaian barisan pertahanan pada babak kedua
menyaksikan Brunei berjaya merobek gawang lawan sebanyak tiga kali.
Pahang pula baru segar dengan
kemenangan 1-0 ke atas juara Perdana Dua, Johor dalam perlawanan pembukaan
menerusi jaringan Azizul.
''Pahang akan berusaha
melebarkan kemenangan tetapi Kuala Lumpur juga memerlukan kemenangan.
Perlawanan ini pasti hebat,'' tambah Mat Zan.
Begitu pun, Mat Zan agak risau
dengan keadaan dua pemain utamanya, pemain tengah Azmir Nor Hakim Burhan dan
penyerang Mohd. Farid Dewan.
''Azmir mengalami kecederaan
lutut selepas berlaga dengan pemain Brunei tempoh hari dan saya difahamkan dia
mungkin terpaksa direhatkan seminggu.
''Farid pula cedera di betis
tetapi saya pasti dia dapat beraksi malam esok. Pemain lain pula nampaknya
tidak menghadapi masalah,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SM0YRWS3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan