Jumaat, 31 Mac 2017

Insiden pergaduhan bola sepak MSSM di Ipoh - Menteri minta laporan penuh



ARKIB : 31/05/2003
 
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL

MENTERI Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad mahukan laporan penuh mengenai insiden pergaduhan dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) di Padang Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Ipoh petang kelmarin.

Pengerusi Pengadil Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Perak( MSSPk ), Amir Sharifuddin Wong Abdullah berkata, beliau diarahkan oleh pihak atasan untuk menyediakan laporan penuh untuk diserahkan kepada Menteri Pendidikan.

Selain itu katanya, laporan insiden tersebut dan hukuman yang dikenakan ke atas mana-mana pemain akan dihantar kepada MSSM dan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) bagi tindakan selanjutnya.

``Mana-mana pemain yang dikenakan hukuman tidak boleh beraksi dalam perlawanan yang dianjurkan oleh MSSM atau FAM serta ahli gabungannya,'' kata Amir ketika dihubungi di Ipoh, semalam.

Dalam perlawanan akhir yang penuh aksi-aksi kasar itu pengadil dari Perak, Ajam Suhut terpaksa melayangkan enam kad merah kepada lima pemain Terengganu dan seorang pemain Kuala Lumpur.

Lima pemain Terengganu termasuk seorang pemain simpanan yang dilayangkan kad merah adalah Sham Sharil Gulam, Md Hilman Yahaya, Md Faizal Mansor, Md Hafifi Hashim dan Ahmad Nawawi Mamat.

Sham Sharil diperintah keluar padang oleh pengadil dari Perak pada minit ke-51 kerana mengkasari pemain Kuala Lumpur, M. Thilagavanan.

Sementara Md. Hilman, Md Faizal dan Md Hafifi juga diarah keluar padang apabila dilayangkan kad kuning kedua oleh Ajam Suhut setelah mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti memegang bola dan bermain secara kasar.

Selain itu, pemain simpanan Terengganu, Ahmad Nawawi yang berada di tepi padang turut dilayangkan kad merah apabila didakwa menyerang pemain Kuala Lumpur yang sedang beraksi.

Seorang pemain Kuala Lumpur, Mior Mohd Hadzlan dilayangkan kad merah kerana bermain kasar dalam masa tambahan. Para pegawai Jabatan Pendidikan Perak termasuk Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Adnan Ibrahim telah bekerja keras mententeramkan keadaan setelah para pemain dan pegawai Terengganu menyerang pemain-pemain Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur muncul juara bawah 18 tahun melalui jaringan emas dalam perlawanan yang penuh kekasaran bagi mengatasi Terengganu 2-1.

Amir berkata, tindakan pengadil dari Perak melayangkan enam kad merah itu adalah wajar bagi mengawal perlawanan tersebut supaya tidak bertambah ganas dan kasar.

``Jika Ajam tidak bertindak demikian sudah tentu ada pemain yang akan mengalami kecederaan serius dan boleh mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pasukan,'' kata Amir lagi.

Perlawanan akhir itu sepatutnya dilangsungkan di Stadium Perak tetapi dipindahkan ke padang STAR kerana stadium ditutup bagi sebarang kegiatan menjelang perlawanan akhir Piala FA antara Perlis dengan Negeri Sembilan, hari ini (Sabtu).

Amir menyatakan insiden itu berlaku kerana kegagalan para pemain dan pegawai pasukan yang bertanding mengawal emosi masing-masing dan bertindak tidak mengikut peraturan.

Pengarah Pendidikan Perak dalam ucapan penutupnya juga meminta para pemain supaya mengawal emosi dan tidak terikut-ikut dengan perasaan marah atau tidak berpuas hati itu

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cxZ1DZj7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan