ARKIB : 24/03/1999
PEMAIN Sarawak, Jeffry Lana
(kiri) cuba merampas bola yang dibawa oleh pemain Kuala Lumpur, Mohd. Imran
Ahmad pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium KLFA, Cheras,
semalam. Sarawak menang penalti 5-4.
KUALA LUMPUR hanya berjaya
mengutip satu mata selepas tewas 4-5 kepada Sarawak menerusi penentuan sepakan
penalti pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu selepas kedudukan terikat
1-1 pada permainan sebenar di Stadium KLFA, Cheras, semalam, lapor JOHARI
SHAWAL.
Penjaga gol Kuala Lumpur, Shaharudin
Ahmad ditugaskan mengambil sepakan terakhir, gagal sempurnakannya apabila
ditepis keluar penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid.
Pada perlawanan sebenar,
pasukan pelawat lebih dulu membuka jaringan menerusi gol sendiri pemain
pertahanan Kuala Lumpur, P. Saravanan tetapi Azmir Nor Hakim Burhan menyamakan
kedudukan pada minit ke-44.
Gol-gol penalti Kuala Lumpur
dijaringkan oleh Mohd. Nizaruddin Yusof, M. Karunakaran, P. Saravanan, Mohd.
Imran Ahmad manakala Bobby Chua, Ramos Sari, Abang Mohd. Za'afari, Ibrahim
Mantali dan Ramles Sari menyumbat gol untuk Sarawak.
Di depan 3,000 penyokong
sendiri, Kuala Lumpur bermula garang dengan asakan-asakan awal. Gandingan
penyerang Mohd. Farid Dewan dan Mohd. Nizaruddin Yusof jelas berbisa tetapi
Sarawak berjaya mengekang dua penyerang remaja itu dengan kawalan benteng yang
mantap dikemudi Mohd. Zaidil Sakup.
Perlawanan kembali seimbang
selepas 10 minit perlawanan tetapi Sarawak lebih banyak melancarkan
serangan-serangan ke kubu Kuala Lumpur dan gandingan penyerang Mohd. Safri Amit
dan Ramos Sari menghuru-harakan seketika pertahanan Kuala Lumpur yang diterajui
Saravanan.
Namun, kesilapan stopper Kuala
Lumpur, Saravanan pada minit ke-12 menyaksikan gawang warga kota robek apabila
bola yang dilintangkan Mohd. Safri tertampan ke kaki Saravanan yang terus
menerjah jaring.
Begitu pun, kesilapan Saravanan
ditebus oleh Azmir yang berjaya mengambil peluang daripada perebutan di depan
gawang Sarawak untuk menolak masuk gol penyamaan seminit sebelum waktu rehat.
Gol berpunca daripada hantaran
silang dari sebelah kanan Azali Mat Jusoh yang cuba ditanduk Mohd. Farid tetapi
bola jatuh ke kaki Azmir yang berjaya menewaskan Mazlan Wahid.
Sarawak kembali menyusun
gerakan pada babak kedua dengan peluang terbaik untuk melebarkan jaringan hadir
pada minit ke-55.
Mohd. Nazri Yunos mengambil
kesempatan hasil kesilapan M. Karunakaran yang gagal menyepak kemas di dalam
kotak penalti tetapi percubaan Nazri berjaya ditepis penjaga gol Kuala Lumpur,
Shaharudin Ahmad.
Kuala Lumpur turut berpeluang
untuk melebarkan jaringan lima minit selepas itu tetapi Azmir mensia-siakan
peluang sepakan percuma di luar kotak penalti yang menyaksikan tendangannya
melambung tinggi di atas palang gol.
Begitu pun, baki setengah jam
perlawanan tiba-tiba hambar dengan kedua-dua pasukan tidak dapat menembusi
pertahanan lawan masing-masing sehingga memaksa kemenangan ditentukan menerusi
sepakan penalti.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RCAYQL46
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan