ARKIB : 12/04/2000
Juara bertahan, KL bangkit
selepas ketinggalan
PEMAIN pertahanan Kuala Lumpur,
Azlan Meri (kanan) cuba menghalang penyerang Negeri Sembilan, Chow Chee Weng
dari melarikan bola ke dalam kawasan kotak penalti pada perlawanan suku akhir
pertama Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi semalam. Kuala Lumpur
menang 2-1. - Gambar MOHD. NOOR AMIN.
JARINGAN penyerang, Mohd. Farid
Dewan menerusi tandukan cantik lima minit sebelum perlawanan tamat memastikan
penyandang juara, Kuala Lumpur mencatat kemenangan tipis 2-1 pada perlawanan
suku akhir pertama bola sepak Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium
Tuanku Abdul Rahman di Paroi semalam.
Walaupun beraksi tanpa
kehadiran penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof yang mewakili pasukan
negara ke kelayakan Piala Asia di Bangkok baru-baru ini, skuad ibu kota
bertindak cemerlang pada 20 minit terakhir perlawanan untuk bangkit dengan dua
gol.
Selepas beraksi hambar pada
permainan separuh masa pertama, skuad Rusa mula mendapat rentak apabila
penyerang sensasinya Azman Adnan membuat percubaan pada minit ke-41 dan 61
namun sepakannya tersasar.
Begitupun, Mohd. Shukor Adan
menghadirkan ceria skuad tuan rumah apabila merembat kencang ke sebelah kiri
gawang selepas menerima umpanan Effendi Abdul Malik pada minit ke-67 yang sama
sekali gagal ditepis oleh penjaga gol pelawat, Shaharuddin Ahmad.
Bagaimanapun, jaringan tersebut
sebaliknya hanya menyemarakkan skuad Kuala Lumpur yang segera bertindak balas
dengan gerakan-gerakan kemas ke arah kubu pasukan tuan rumah.
Hasilnya, Kuala Lumpur berjaya
menyamakan kedudukan hanya 11 minit kemudian menerusi pemain gantian, G. Muthu.
Dia yang masuk pada minit ke-50
menggantikan K. Nanthakumar pantas mengambil peluang di hadapan pintu gol
apabila menanduk masuk umpanan Mohd. Shawal Johadi.
Mohd. Shawal sekali lagi
menjadi pemimpin kebangkitan Kuala Lumpur apabila hantaran lintang yang dilakukannya
disambut dengan tandukan cantik Farid pada minit ke-85.
Gol tersebut semakin
menghidupkan perlawanan apabila Negeri Sembilan cuba mencari gol penyamaan
menerusi beberapa serangannya namun gagal menghalang skuad pelawat membawa
pulang bekalan selesa untuk suku akhir kedua di Kuala Lumpur.
Oleh: HATA WAHARI
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TG2wNju6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan