Isnin, 19 Disember 2016

KL yakin strategi terbaik

ARKIB : 22/04/2000
JUARA Sumbangsih dan penyandang juara Piala FA, Kuala Lumpur akan mengamalkan strategi dan corak permainan serupa dengan aksi-aksi terdahulu, apabila turun menentang Negeri Sembilan pada perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium KLFA, Cheras, malam ini.

Jurulatih pasukan, Mat Zan Mat Aris berkata, beliau merasakan tidak perlu merombak sistem dan strategi pasukan kerana yakin dengan yang diamalkan ketika ini yang telah memberi hasil.

''Kita akan bermain seperti biasa. Saya pasti strategi yang diamalkan pasukan dalam lima perlawanan awal ini menampakkan kesan. Kita akan teruskan seperti itu... cuma mungkin sedikit perubahan dilakukan,'' kata Mat Zan, semalam.

Kuala Lumpur bermula cemerlang dalam kempen awal Liga Malaysia musim ini. Mereka belum tewas dalam lima perlawanan berturut-turut.

Mereka menyingkir Selangor pada pusingan kedua Piala FA selepas seri 1-1 dan menang 1-0 untuk menang agregat 2-1. Mereka kemudian menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada suku akhir pertama.

Dalam pembukaan Perdana Satu, Kuala Lumpur seri 1-1 untuk berkongsi satu mata dengan Brunei sebelum memperoleh gol emas untuk menentukan juara perlawanan Sumbangsih. Selepas itu, Kuala Lumpur tidak menoleh ke belakang apabila membenam Sarawak di 2-1 dalam Perdana Satu.

Untuk perlawanan malam ini, Mat Zan mungkin tidak menurunkan penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof kerana cedera buku lalinya belum pulih.

Mohd. Farid Dewan akan memikul tugas barisan serangan bersama K. Nanthakumar. G. Muthu yang turut cedera, direhatkan dan tempatnya di bahagian tengah diisi Shawal Johadi yang menunjukkan aksi cemerlang dalam perlawanan dengan Sarawak, Selasa lalu.

M. Karunakaran yang tidak bermain dalam dua perlawanan pertama Liga Malaysia akibat cedera, tetapi diturunkan Mat Zan di Kuching, akan terus memperkukuhkan barisan pertahanan bersama Azlan Hussain, Imran Ahmad dan Azali Mat Jusoh.

''Negeri Sembilan pasti akan berhabis-habisan malam esok untuk mengimbangi rekod pertemuan. Kita cuma ada penyokong sendiri dan bermain di gelanggang sendiri,'' katanya.

Kuala Lumpur memiliki rekod lebih cemerlang ke atas Negeri Sembilan berdasarkan dua pertemuan terakhir mereka musim ini.

Sebelum menang 2-1 pada suku akhir pertama Piala FA di Seremban minggu lalu, mereka mencatat kemenangan 3-1 dalam persahabatan sebelum Liga Malaysia bermula.

Kuala Lumpur kini di tangga kedua liga dengan empat mata di belakang Johor selepas dua perlawanan, sesudah merakamkan seri 1-1 dengan Brunei dan menang 2-1 ke atas Sarawak.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TI6Hrl00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan