Isnin, 5 Disember 2016

KL berazam jadi juara tiga kali

ARKIB : 29/06/1999
BIARPUN beraksi pada pentas akhir bola sepak Piala FA di gelanggang lawan, Kuala Lumpur tetap menaruh keyakinan tinggi mampu meraih kejayaan _ sekali gus mencipta sejarah menjadi pasukan pertama menjuarai pertandingan itu sebanyak tiga kali.

Jurulatih pasukan, Mat Zan Mat Aris berkata, beliau memang gusar pasukannya beraksi di tempat lawan namun percaya perasaan itu bakal terhapus menjelang perlawanan penting itu, Ahad ini.

''Walaupun kita bermain di tempat lawan, saya masih percaya Kuala Lumpur mampu mencatat kejayaan di sana.

''Ini berdasarkan kesungguhan pemain yang nampaknya berkobar-kobar untuk menang perlawanan itu apalagi menyedari kita berpeluang mencipta sejarah menjadi pasukan pertama menjuarai Piala FA tiga kali,'' katanya selepas sesi latihan di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin memutuskan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menjadi gelanggang perlawanan akhir Piala FA selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua pasukan.

Begitu pun, Mat Zan agak gusar kerana pasukan lawan turut bernafsu untuk mencipta sejarah tersendiri.

''Terengganu juga mahu mencatat sejarah dan mereka pasti bersungguh-sungguh memburu kemenangan apalagi dengan sokongan penyokong sendiri,'' katanya.

Skuad Penyu yang dibimbing oleh Yunus Alif beraksi buat kali pertama dalam perlawanan akhir Piala FA sejak diperkenalkan pada 1990 manakala Kuala Lumpur kali keempat selepas 1992, 1993 dan 1994.

Kuala Lumpur tewas kepada Sarawak pada perlawanan akhir 1992 tetapi muncul juara pada 1993 dan 1994 menewaskan Sabah dalam kedua-dua perlawanan akhir itu.

Dalam kempen Liga Perdana musim ini, Terengganu menang 2-0 di Kuala Terengganu pada pusingan pertama tetapi Kuala Lumpur membalas dengan jaringan yang sama di Stadium KLFA, Cheras pada pusingan kedua.

Mat Zan turut melahirkan kebimbangannya apabila ramai pemain utamanya mengalami kecederaan.

Kuala Lumpur, yang telah kehilangan perancang utama, G. Muthu kerana cedera dan bek tengah M. Karunakaran yang beraksi dengan pasukan Olimpik 2000 di Jepun, kemungkinan besar akan kehilangan pula bek kanan kental, Azali Mat Jusoh yang mengalami kecederaan lutut.

''Azali mungkin terpaksa diketepikan kerana cederanya agak serius tetapi keadaan Azmir (Nor Hakim Burhan) dan Mohd. Farid (Dewan) mungkin dapat beraksi pada perlawanan akhir nanti,'' katanya.

Azali cedera selepas berlaga dengan pemain Sabah, Suharmin Yusof sewaktu perlawanan separuh akhir kedua di Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RyfCf7TQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan