Isnin, 19 Disember 2016

KL bukan pasukan hingusan lagi..

ARKIB : 18/04/2000.
DUA tahun lalu, mereka dianggap pasukan mentah lagi hingusan kerana dibarisi pemain yang masih hijau dalam bola sepak liga tempatan, lapor JOHARI SHAWAL.

Tahun ini, Kuala Lumpur masih menggunakan pemain yang serupa, malah terus mengambil pemain mentah, rata-ratanya dari Liga Simpanan mereka.

Tindakan berani mereka rupanya memberikan hasil yang dikira lumayan. Meskipun tanpa pemain berstatus bintang, Kuala Lumpur telah membuktikan kebenaran ungkapan 'usaha tangga kejayaan'.

Mereka kini harus diakui sebuah pasukan yang sudah mampu 'berdiri sama tinggi' dengan pasukan gergasi lain sehingga kini digelar 'pasukan paling berbahaya'.

Tentu skuad bimbingan jurulatih Mat Zan Mat Aris itu amat dicemburui lawan sesudah gagah mengetepikan pasukan-pasukan gergasi untuk menjulang mahkota Piala FA musim lalu.

Dan terbaru, mereka terus mengeluarkan isyarat garang dengan merangkul piala pembuka tirai Liga Perdana, Piala Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan Sumbangsih menentang juara Piala Malaysia, Brunei, Sabtu lalu.

Jelas sekali Kuala Lumpur, yang sekadar memiliki beberapa bekas pemain Olimpik 2000 dan seorang pemain kebangsaan, tidak sunyi daripada mencipta kejutan.

Mungkin gelaran 'orang besi' yang diraih Mat Zan satu ketika dulu, sudah menurun kepada skuadnya yang diasah sejak tiga tahun lalu.

Namun, Mat Zan menyimpan gusar walaupun skuad bimbingannya telah berjaya menambah koleksi piala.

''Satu kejayaan tetapi ia tidak harus menjadi satu faktor yang menyebabkan pemain dibuai leka.

''Saya khuatir pasukan akan jadi 'besar kepala' dan mula leka dengan tugas sebenar yang sedang dipikul. Kita masih jauh daripada kejayaan,'' tegas Mat Zan.

Kerana itu, jurulatih itu mahu melihat komitmen sebenar pemain apabila turun menentang Sarawak pada saingan Perdana Satu di Stadium Sarawak, malam ini.

Sesudah mengikat Brunei 1-1 selepas tamat masa penuh perlawanan untuk mereka berkongsi satu mata dalam Perdana Satu, dan menang dalam masa tambahan untuk merangkul Piala Sultan Ahmad Shah, Mat Zan pasti tidak sabar menilai prestasi anak buahnya dalam Liga Perdana.

''Kemenangan itu hanya permulaan... halangan besar lebih banyak menanti,'' kata Mat Zan.

Kuala Lumpur juga masih dalam kempen Piala FA selaku juara bertahan dan tampak bakal mengetepikan cabaran Negeri Sembilan apabila mereka bertemu sekali lagi untuk suku akhir kedua di Cheras, Selasa depan.

Mereka mengejutkan skuad itu 2-1 di Seremban pada suku akhir pertama sesudah menyingkir juara 1997, Selangor menerusi agregat 2-1 pada pusingan kedua sebelum itu

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4THVLRGtp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan