Ahad, 4 Disember 2016

Tugas KL paling getir

ARKIB : 15/06/1999
TUGAS paling getir kini digalas jurulatih skuad bola sepak Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris apabila terpaksa memastikan pasukannya berjaya merebut tempat dalam dua pertandingan Liga Malaysia - Piala FA dan Piala Malaysia.

Ketika harapan untuk layak ke Piala Malaysia secara automatik begitu genting dengan perlawanan terakhir menentang Terengganu, Sabtu depan bakal menentukan hidup mati mereka, separuh akhir Piala FA menentang Sabah malam ini turut menghadirkan keresahan buat jurulatih itu.

Biarpun separuh akhir pertama dilangsungkan di gelanggang sendiri, pertemuan dengan skuad Negeri Di Bahawa Bayu yang dibimbing Ken Worden itu dianggap begitu sulit.

Apa lagi Sabah belum tewas dalam tujuh perlawanan berturut-turut setakat ini yang pastinya menghadirkan kesukaran berganda buat si Helang.

''Memang kami agak tertekan dengan situasi ini kerana terpaksa memastikan dua tempat untuk dua pertandingan sekali gus apalagi pasukan lawan yang akan ditentang malam esok mempunyai reputasi begitu cemerlang.

''Bukan sahaja kita perlu menang pada perlawanan pertama ini tetapi memperoleh bekalan selesa sebelum bertandang ke tempat lawan untuk perlawanan kedua.

''Kemaraan ke Piala FA dan kelayakan automatik ke Piala Malaysia begitu menekan kami,'' akui Mat Zan.

Begitu pun, jurulatih itu mahu melupakan sementara persaingan ke Piala Malaysia dan menumpukan sepenuh perhatian kepada Piala FA kerana sinar kejayaan masih ada.

Namun katanya, Sabah yang belum tewas dalam tujuh perlawanan setakat ini, pasti mahu meneruskan rekod cemerlang mereka.

''Tetapi inilah masanya Kuala Lumpur menyekat kehebatan mereka dengan mencatat kemenangan,'' ujarnya.

Dalam kempen liga, Kuala Lumpur menang 2-1 pada perlawanan pusingan pertama di Cheras tetapi tewas 0-2 di Likas pada pusingan kedua.

''Kita mempunyai rekod agak cemerlang di tempat sendiri tetapi kurang baik di Likas dan tentunya kita harus menggunakan kesempatan di tempat sendiri sebaik-baiknya,'' katanya.

Berdasarkan prestasi pasukan ketika ini, Mat Zan begitu yakin anak buahnya mampu merealisasikan harapan itu apalagi dengan adanya penggempur harapan warga kota, Mohd. Nizaruddin Yusof.

Nizaruddin tidak beraksi ketika Kuala Lumpur menang ke atas Perak dalam kempen liga Sabtu lalu kerana digantung perlawanan.

''Semua pemain sudah bersedia menghadapi cabaran ini dan semangat mereka berkobar-kobar sesuai dengan jiwa muda mereka untuk mencatat keputusan terbaik malam esok,'' kata Mat Zan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RsiXtKMm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan