Jumaat, 9 Disember 2016

Pemain komited pilihan KL

ARKIB : 23/09/1999
GELARAN juara berganda menjadi idaman Kuala Lumpur, tetapi pasukan muda itu menghadapi laluan amat getir dalam bola sepak Piala Malaysia musim ini apabila diletakkan dalam kumpulan gagah.

Namun, skuad juara Piala FA itu sudah bersedia menghadapi kempen berprestij edisi ke-33 itu dengan semangat Piala FA dibawa bersama.

Jurulatih Mat Zan Mat Aris berkata, selepas beberapa perlawanan persahabatan diharungi sebagai persiapan mereka, skuad muda itu kelihatan berkobar-kobar untuk mencipta satu lagi kejayaan.

Dengan kehadiran tiga pemain Olimpik 2000, Yuzaiman Zahari, S. Jayaprakash dan Mohd. Shawal Johadi, menambahkan lagi semangat Kuala Lumpur untuk membuka kempen dengan nota gemilang.

Namun, menurut jurulatih tersebut, tambahan pemain itu telah mewujudkan persaingan antara pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

''Dengan adanya tiga pemain Olimpik ini, persaingan wujud untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, tetapi ia sebenarnya adalah satu perkembangan sihat.

''Saya terpaksa memilih mereka yang benar-benar komited untuk diberi peluang membawa cabaran,'' katanya.

Selain tiga pemain pertahanan itu, Kuala Lumpur memiliki beberapa lagi pemain berwibawa di barisan belakang termasuk pemain kebangsaan M. Karunakaran, Azali Mat Jusoh, Mohd. Imran Ahmad dan ketua pasukan, P. Saravanan.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur terus menyandarkan harapan kepada pengalaman dua penyerangnya, Mohd. Nizaruddin Yusof dan penjaring terbanyak Mohd. Farid Dewan.

Dua penyerang ini dan pemain tengah, Azmin Nor Hakim Burhan serta K. Nanthakumar diberi tempoh singkat mencari pengalaman di peringkat antarabangsa dengan mewakili negara ke Kejohanan Bola Sepak Piala Kemerdekaan Bangladesh, bulan lalu.

''Harapan untuk pergi jauh nampak sulit sebab kita berada dalam kumpulan terkuat.

''Tetapi saya yakin mereka mampu menggunakan pengalaman itu sebaik mungkin dalam Piala Malaysia,'' ujar Mat Zan.

Kuala Lumpur diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama juara liga, Pahang, juara Perdana Dua, Johor, Sabah, Sarawak dan Brunei.

Kempen musim lalu menyaksikan pasukan Mat Zan gagal melepasi peringkat awal perlawanan kumpulan dengan hanya meraih dua kemenangan.

Mengenai perlawanan pembukaan menentang Brunei di Bandar Seri Begawan Sabtu ini, Mat Zan mengarahkan pemainnya supaya berhati-hati dengan skuad Borneo itu.

''Brunei semakin menampakkan kemajuan apalagi bermain di tempat sendiri. Kita perlu berhati-hati,'' katanya.

Dalam kempen liga musim ini, Kuala Lumpur menang kedua-dua pertemuan dengan Brunei, menang 4-3 di Bandar Seri Begawan dan 3-1 di Cheras.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SKgDzePU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan