ARKIB : 07/02/1998
JURULATIH skuad bola sepak
Kuala Lumpur, Chow Kwai Lam berkata, empat pemain baru dari negeri lain yang diambil
oleh pasukan itu musim ini harus menggandakan usaha untuk merebut tempat dalam
kesebelasan utama bagi kempen Liga Malaysia yang bermula April ini, JOHARI
SHAWAL melaporkan.
Katanya, kehadiran Abdul Ghani
Malek, Azlan Meri, M. Chandran dan Tan Cheng Hoe ke dalam skuad itu tidak
semestinya menjamin kedudukan masing-masing sebagai pemain utama. Sebaliknya,
mereka perlu berusaha keras untuk merebut tempat kerana setiap posisi sudah ada
pemain.
''Memang benar kita ambil
pemain baru bukan untuk duduk di bangku simpanan tetapi mencurahkan pengalaman
membantu pasukan baru.
''Kita beri kepercayaan kepada
mereka untuk membantu pasukan ini tetapi mereka harus merebut tempat itu,''
kata Kwai Lam selepas mengendali skuad Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala
Lumpur, Cheras, semalam.
Menurut jurulatih itu,
kedudukan mereka sebagai pemain utama turut akan ditentukan berdasarkan
persembahan masing-masing menerusi latihan dan beberapa perlawanan
persahabatan.
''Jika mereka menunjukkan
prestasi yang baik dan memuaskan, mungkin mereka akan mendapat tempat,''
katanya.
Abdul Ghani, bekas pemain Perak
di posisi pertahanan bersama pemain Pulau Pinang, Cheng Hoe, bekas bek
Selangor, Chandran dan pemain tengah Melaka, Azlan diambil atas dasar kemahiran
tinggi dan pengalaman masing-masing.
Kehadiran mereka musim ini
diharap dapat membantu meningkatkan kemantapan pasukan selain mengekalkan
prestasi pasukan musim lalu.
Kuala Lumpur musim ini masih
mengekalkan pemain lama yang kebanyakannya pemain utama skuad itu diketuai
bekas pemain kebangsaan, M. Ramachandran, Liew Kim Tu, Zolkipli Samion, Mohd.
Nazim Din, P. Saravanan, Paidiya Rau, Zefus Othman, Amirnuddin Ahmad selain
penjaga gol Azmin Azram Aziz.
Pemain pertahanan importnya
dari Nigeria, Adebisi Ogunsanya masih dalam percutian dan dijangka kembali ke
Kuala Lumpur Ahad ini bersama pemain import baru, Abu Bakar Balarde Mallam.
''Saya lihat pasukan musim ini
baik berbanding musim lalu tetapi saya belum lihat lagi keupayaan dan
kemantapan pasukan.
''Kita akan adakan beberapa
perlawanan persahabatan untuk melihat keupayaan mereka,'' katanya.
Skuad itu akan diuji dalam
beberapa perlawanan persahabatan termasuk menentang kelab dari Republik Czech,
Slovan Bratislava dan Ujpesti Torna Eglyte dari Hungary di Stadium KLFA dalam
tempoh dua minggu ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FVIXZRPB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan