Isnin, 19 Disember 2016

KL ke separuh akhir

ARKIB : 26/04/2000
JUARA bertahan, Kuala Lumpur mara ke separuh akhir bola sepak Piala FA selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Pasukan Mat Zan Mat Aris sebelum ini menang 2-1 di Seremban, 11 April lalu dan layak menerusi agregat 2-1.

Menyedari pasukan pelawat akan berusaha habis-habisan, jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan meletakkan lima pemain di bahagian pertahanan untuk mengekang asakan lawan.

Negeri Sembilan berpeluang menghasilkan gol menerusi Adnan Md. Zin pada minit keenam dan Kamarul Idham lima minit kemudian tetapi penjaga gol tuan rumah, Kamarul Idham Amiruddin menyelamatkan keadaan.

Kuala Lumpur meneruskan formasi bertahan pada separuh kedua perlawanan dengan meletakkan lima pemain di bahagian pertahanan, tetapi masih mampu mencipta serangan kilat yang meresahkan kubu lawan.

Pada minit ke-59, penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof hampir menjaringkan gol sulung perlawanan apabila menanduk kencang bola sepakan sudut, tetapi penjaga gol Rusa, Mohd. Hamsani sudah bersedia menyelamatkan keadaan.

Negeri Sembilan berpeluang mengheret perlawanan ke masa tambahan sudden-death, namun sepakan percuma pada minit ke-87 yang dilakukan oleh Mohd. Shukor Adan dari jarak 20 meter tepat ke dakapan Kamarul Idham.

Perak pula menang 2-1 di Stadium Perak, Ipoh, tetapi gagal menyekat Pulau Pinang ke separuh akhir menerusi kemenangan agregat 4-3.

Selepas menang 3-1 pada suku akhir pertama dua minggu lalu, Pulau Pinang jelas bermain tanpa tekanan dengan kunci kejayaan mereka adalah ketenangan untuk mengekalkan kelebihan itu.

Malah mereka berupaya mengejutkan tuan rumah dengan gol pendahuluan jaringan Ooi Hoe Guan seawal minit keempat sebelum Perak membalas dua gol jaringan Liew Kit Kong (37) dan M. Nagaraja pada minit ke-54.

Pulau Pinang bagaimanapun bijak mengawal permainan sebaik bermula babak pertama dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk mengejut pasukan tuan rumah seawal minit keempat.

Gol berpunca daripada lontaran ke dalam Faizal Zainal di sebelah kanan pintu gol Perak yang disambut Moey Kok Hong dengan tandukan ke belakang tepat kepada Hoe Guan yang hanya menolak bola masuk.

Tersentak dengan gol itu, Perak mengasak, tetapi mendapati kubu pertahanan Pulau Pinang yang diterajui Khairil Zainal sukar ditembusi.

Perak memperoleh peluang terbaik pada minit ke-24 untuk menyamakan kedudukan, tetapi sepakan Abu Bakar Fadzim dari luar kotak penalti berjaya ditangkap kemas penjaga gol Pulau Pinang, Azlisham Ibrahim.

Asakan demi asakan akhirnya menyaksikan Perak berhasil menyamakan kedudukan apabila pada minit ke-37, sepakan lintang Mohd. Noor Derus disambut Kit Kong yang menyepak kencang menggegarkan jaring pelawat.

Babak kedua, Perak meneruskan asakan dan hanya sembilan minit permainan disambung, mereka menjaringkan gol menerusi M. Nagaraja pada minit ke-54.

Berpunca sepakan percuma Mohd. Noor di sebelah kiri pintu gol Pulau Pinang, tepat ke kepala K. Nanthakumar sebelum disambut Nagaraja dengan satu lagi tandukan untuk menggegar jaring.

Tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-70, tetapi sepakan Azrul dari luar kotak penalti dinafikan oleh hujung jari Azlisham yang menolak bola keluar.

Menyedari mereka masih ketinggalan dari segi agregat, Perak melakukan asakan bertubi-tubi, malah memasukkan dua penyerang kembar mereka, V. Saravanan dan Khalid Jamlus, tetapi masih gagal menghasilkan gol hingga tamat permainan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TKtp35FN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan