April 2000
ARKIB : 02/04/2000
SENTUHAN gol pada lewat
permainan menerusi penyerang, Mohd. Farid Dewan memastikan juara bertahan,
Kuala Lumpur merangkul kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor di Stadium Shah
Alam semalam, sekali gus melangkah ke suku akhir bola sepak Piala FA dengan
agregat 2-1.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1
pada perlawanan pertama di Cheras Ahad lalu dan jaringan berharga Farid di
gelanggang lawan itu hadir ketika perlawanan berbaki 20 minit untuk ditamatkan.
Sarawak turut ke suku akhir
selepas menewaskan Johor FC 3-0 di Stadium Sarawak, Kuching.
Sarawak diikat 2-2 pada
perlawanan peringkat pertama di Pasir Gudang dengan agregat 5-2.
Zulkarnien membuka jaringan
pertama Sarawak pada minit ke-19 selepas berlaku pergelutan di hadapan pintu
gol Johor FC.
Sarawak terus mendahului
apabila Abang Mohd. Zafari Abang Othman menyempurnakan sepakan penalti minit
ke-82 sebelum pemain veteran Mohd. Ali Sapiee menjaringkan gol ketiga pada
minit ke-90.
Juara edisi sulung 1990, Perak
pula menafikan hasrat TNB Kelantan untuk mara ke suku akhir apabila menang
dengan agregat 4-1 selepas seri 1-1 dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohd.
ke-IV, Kota Bharu semalam.
Gol pelawat diperoleh menerusi
penyerang Liew Kit Kong pada minit ke-70 selepas berjaya mengelecek pertahanan
lawan dan melepaskan rembatan kencang menewaskan Azlan Ismail.
Berbekalkan kelebihan tiga gol
ketika bertandang ke gelanggang lawan, Perak bermain dalam keadaan selesa
meskipun benteng pertahanan mereka sering digugat.
JKR Kelantan gagal untuk
melakukan kejutan biarpun memperoleh jaringan pembukaan pada perlawanan di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebelum tewas 5-1 kepada Negeri Sembilan.
Skuad Rusa yang dikejutkan
dengan kekalahan 2-1 di Kota Bharu pada perlawanan pertama, bangkit setelah
ketinggalan menerusi jaringan Cik Hishammuddin Hassan minit ke-29 dengan lima
gol kemudian untuk mara ke suku akhir dengan agregat 6-3.
Mohd. Shukor Adan menjaringkan
dua gol untuk Negeri Sembilan pada minit ke-50 dan 78 manakala satu gol
masing-masing dijaringkan oleh Azman Adnan (58), Norisham Ismail (62) dan
Effendi Malek (66).
Di Stadium Darul Aman, Alor
Setar, Kedah menempah tiket ke suku akhir apabila menewaskan Melaka dengan
agregat 7-1 selepas berpesta gol 6-0.
Tiga gol Kenari dijaringkan
pada separuh masa pertama menerusi Che Zambil Ahmad pada minit keenam dan 18
dan Norizam Ali Hassan pada minit ke-38.
Baki gol yang dijaringkan pada
separuh masa kedua dihasilkan oleh Mohd. Sofi Md. Isa (82), Ahmad Zalghafari
Manaf (83) dan Azrin Shah Zainal (85).
Pada perlawanan pertama di
Paroi, Seremban, minggu lepas, kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Pulau Pinang turut melakar
kejayaan besar untuk melangkah ke suku akhir dengan membelasah Chempaka NS 6-0
di Stadium Bandaraya.
Skuad Pulau Mutiara itu mara
dengan aggregat 8-1 setelah menang 2-1 di Seremban.
S. Nanthakumar memulakan pesta
gol Pulau Pinang menerusi jaringan minit ke-45 sebelum Wong Kah Loon menambah
gol pada minit ke-63.
Hasmawi Hassan menambah derita
Chempaka NS dengan dua gol jaringannya minit ke-72 dan 78 manakala Faizal
Zainal dan R. Suresh Kumar menambah jaringan tuan rumah dengan jaringan minit
ke-73 dan 85.
Pahang terpaksa bermain
sehingga penentuan sepakan penalti sebelum menang 3-1 selepas perlawanan
sebenar terikat 1-1 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Pahang membuka jaringan pada
minit ke-39 menerusi Badrul Afzan Razali tetapi pemain Johor, Nazreen Tee
Abdullah menyamakan kedudukan minit ke-58.
Terengganu tidak berputih mata
di gelanggang sendiri apabila berjaya menundukkan Kelantan 3-0 di Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk ke suku akhir.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TBCrsu00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan