Jumaat, 10 Mac 2017

KL semakin parah, Sarawak terus melonjak

ARKIB : 03/09/2000
JUARA Perdana Dua, Kelantan terus mencerahkan harapannya ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia apabila menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada perlawanan kumpulan B di Stadium KLFA, Cheras semalam.

Pada minit ke-16, Kamarul Idham membuat kesilapan memberi kesempatan kepada penyerang pasukan pelawat, Cik Hisamuddin Hassan menguis bola untuk gol pertama Kelantan.

Kamarul bagaimanapun menebus kesilapannya itu pada minit ke-41 apabila menyelamatkan percubaan Tengku Hazman Raja Hassan dari dalam kawasan gol.

Kelantan terus mengukuhkan penguasaan dengan gol keduanya menerusi pemain gantian, Nik Musanif Nik Cob dari dalam kotak penalti, dengan menguis masuk hantaran lintang Tuan Kamree Tuan Yahya pada minit ke-82.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang berkongsi satu mata dengan Melaka selepas seri 1-1. Pahang terpaksa mengambil masa 11 minit untuk memecah kedudukan menerusi asakan balas secepat kilat dari sebelah kanan oleh Jalaluddin Jaafar.

Umpanan lintang Jalaluddin nyata tidak di sia-siakan oleh Wan Rohaimi Ismail yang menerbangkan diri untuk menanduk masuk jaringan sulung sambil menewaskan penjaga gol Melaka, Asri Sanusi.

Tanpa mempedulikan kegarangan Tok Gajah yang melancar asakan demi asakan, Melaka sempat mengintai-intai ruang yang ditinggalkan oleh benteng sebelah kanan tuan rumah dan Mohamad Hardi Jaafar yang mendapat umpanan Sri Jaafar Rahman pada minit ke-28, Melaka meraih gol penyamaan.

Sementara itu, di Stadium Sarawak, Kuching, tuan rumah Sarawak meleburkan rekod tanpa kalah Johor FC pada perlawanan bola sepak kumpulan C Piala Malaysia apabila menumpaskan pasukan pelawat itu 2-0.

Kekalahan itu merupakan yang pertama bagi Johor FC selepas menewaskan Sabah 1-0 pada perlawanan pembukaan dan seri 1-1 dengan juara Piala FA Terengganu sebelum bertemu Sarawak.

Pemain kebangsaan Ramos Sari mengejutkan 8,000 penonton apabila sepakan kencangnya menewaskan penjaga gol Johor FC, Shamsol Sabtu hanya ketika permainan baru berlangsung tiga minit.

Walaupun pasukan pelawat berusaha memberikan saingan namun Ramles Sari menambah satu lagi gol pada minit ke-15 untuk Sarawak menerusi tandukan di depan pintu gol.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, tuan rumah, Johor akur dengan kehebatan Perak apabila tumpas 3-2 dalam perlawanan kumpulan D.

Babak pertama perlawanan tamat dengan keputusan terikat 1-1 dengan Perak lebih dulu menemui sasaran pada minit kelima menerusi penyerangnya, Ahmad Shahrul Azhar.

Johor kemudian menyamakan kedudukan menerusi bekas pemain kebangsaan, Rizal Sukiman sembilan minit kemudian.

Ahmad Shahrul sekali lagi meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-47 namun kedudukan kembali seimbang setelah penyerang Johor, Rezal Zambery Yahya menyempurnakan peluang pada minit ke-50.

V. Saravanan muncul wira Perak dengan percubaan cantik pada minit ke-54 untuk menghampakan para penyokong tuan rumah.

Ini adalah kemenangan kedua Perak sementara Johor terus tertekan dengan kekalahan kali kedua itu untuk kekal dengan hanya satu mata selepas tiga perlawanan.

Di Stadium Likas, tuan rumah, Sabah menghidupkan peluangnya apabila menumpaskan juara Piala FA, Terengganu 2-0.

Jaringan Sabah diperoleh menerusi Mohd. Jaya Kassim pada minit ke-52 dan Fareed Shah Hassan pada minit ke-66.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4aynfrbnE © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan