Ahad, 4 Disember 2016

K. Lumpur ceria campur sedih

ARKIB : 17/06/1999
DALAM keceriaan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah pada separuh akhir pertama bola sepak Piala FA kelmarin, Kuala Lumpur tidak dapat lari daripada diulit kekecewaan apabila pada masa yang sama mereka kehilangan dua tonggak harapannya.

Perancang tengah G. Muthu dan bek kiri Mohd. Imran Ahmad tidak dapat beraksi pada perlawanan terpenting Sabtu ini menentang Terengganu untuk merampas slot automatik terakhir ke Piala Malaysia.

Muthu, pemain berwibawa skuad warga kota kemungkinan besar tidak dapat beraksi sehingga tamat musim Liga Malaysia apabila ditimpa kecederaan pada perlawanan dengan Sabah kelmarin.

Muthu diusung keluar pada babak pertama setelah berlaga dengan pemain Sabah, Andrew Laban dalam usaha merebut bola yang menyebabkan keretakan tulang tangan kirinya.

Manakala Mohd. Imran, penjaring gol tunggal di Stadium KLFA, Cheras, kelmarin, dilayangkan kad kuning pada perlawanan itu, menjadikannya kini mengumpul dua kad kuning dan secara automatik digantung satu perlawanan.

Jurulatih Mat Zan Mat Aris jelas begitu risau dengan perkembangan terbaru pasukannya.

''Kemenangan itu melegakan saya tetapi kecederaan yang dialami Muthu dan ketiadaan Imran untuk perlawanan dengan Terengganu menyukarkan kita.

''Saya tiada pilihan lain kecuali menurunkan barisan pemain simpanan yang ada untuk perlawanan penting itu,'' ujarnya selepas perlawanan itu.

Kuala Lumpur hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan terakhir Liga Perdana Satu menentang Terengganu untuk mengisi slot terakhir ke Piala Malaysia secara automatik.

Hanya enam pasukan dari Perdana Satu layak secara automatik ke Piala Malaysia manakala empat pasukan lagi terpaksa mengharungi play-off dengan empat lagi pasukan dari Perdana Dua.

Pasukan warga kota kini ditangga keenam liga dengan 25 mata daripada 17 perlawanan dan pada masa yang sama, Terengganu pula yang kini memungut 23 mata, memerlukan kemenangan.

Terengganu turut berjaya mencatat kemenangan pada separuh akhir pertama dalam buruan mereka layak ke akhir Piala FA apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di tempat sendiri.

''Saya amat risau perlawanan Sabtu ini apa lagi Terengganu baru segar dengan kemenangan ke atas Negeri Sembilan,'' katanya.

''Apa pun, saya pasti pemain yang ada semakin bersemangat untuk terus mencatat kemenangan dan layak ke Piala Malaysia,'' katanya.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RsptfElc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan