Isnin, 19 Disember 2016

KL buru Sumbangsih

ARKIB : 13/04/2000
SESUDAH mengejutkan Negeri Sembilan pada suku akhir pertama Piala FA kelmarin, skuad bola sepak Kuala Lumpur kini memburu satu lagi penghormatan, menjulang Piala Sultan Ahmad Shah pada perlawanan Sumbangsih menentang Brunei Sabtu ini, perlawanan pembuka tirai kempen Liga Perdana 2000, lapor JOHARI SHAWAL.

Jurulatih pasukan, Mat Zan Mat Aris berkata, kemenangan dalam perlawanan itu penting kerana ia mampu meningkatkan lagi semangat dan kesungguhan pemain untuk beraksi dalam kempen liga penuh mencabar musim ini.

''Kita memang idamkan kemenangan pada perlawanan ini. Kami tahu pasukan kami sekarang dicemburui oleh pasukan lain.

''Jika kami menang, pasti kami terus dicemburui dan secara tidak langsung pasukan lain akan tertekan dan ia memberi satu kelebihan kepada kami.

''Tetapi saya harap pemain tidak pula tertekan dengan kedudukan mereka sekarang,'' kata Mat Zan, semalam.

Perlawanan Sumbangsih musim ini menemukan Kuala Lumpur selaku juara Piala FA 1999 dengan juara Piala Malaysia musim lalu, Brunei yang akan berlangsung di Stadium KLFA, Cheras.

Mat Zan mengakui pertemuan pasukannya dengan Brunei dianggap sukar kerana mereka tidak mengetahui kekuatan pasukan lawan itu setakat ini.

''Kami tidak berjumpa dalam sebarang perlawanan persahabatan atau mendapat sebarang berita mengenai pasukan itu dalam waktu terdekat ini tetapi kami akan beraksi dengan hati-hati,'' kata Mat Zan.

Begitupun, Kuala Lumpur pasti lega dengan kehadiran semula penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof yang baru selesai berjuang untuk negara pada kempen kelayakan Piala Asia, minggu lalu.

Nizaruddin, 21, bakal bergandingan dengan penyerang sedia ada yang kelihatan semakin menunjukkan peningkatan, Mohd. Farid Dewan pada pertemuan dengan Brunei nanti.

Farid menjaringkan gol kemenangan ketika barisan muda Kuala Lumpur menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada suku akhir pertama Piala FA kelmarin.

Sentuhan penyerang berusia 21 tahun itu turut memberikan kejayaan buat Kuala Lumpur ketika mereka menang 1-0 ke atas juara 1997, Selangor pada perlawanan kedua pusingan kedua yang membawa mereka ke peringkat suku akhir dengan agregat 2-1.

Biarpun kemenangan ke atas Negeri Sembilan belum lagi mengesahkan kemaraan mereka ke separuh akhir, namun Mat Zan mampu mencongak peluang berdasarkan persembahan skuadnya di tempat lawan itu.

''Mereka menang kerana kerja keras di padang. Mereka berikan komitmen terbaik dan tentulah hasil yang diterima dikira berbaloi,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TGrHh36R © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan