KUALA LUMPUR menagih lagi
sentuhan penjaring terbanyaknya dalam Liga Perdana, Meor Nor Samsul Kamal untuk
mencatat kedudukan selesa dalam Kumpulan A bola sepak Piala Malaysia apabila
turun menentang Terengganu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam
ini, lapor JOHARI SHAWAL.
Meskipun skuad warga kota itu
diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain Olimpik 2000, Azmir Nur Hakim Burhan,
Chia Ching Kar dan Azlan Hussein, sentuhan Meor di depan gol tetap ditagih.
Malah, tenaga Meor begitu
diharapkan untuk berganding dengan seorang lagi penyerang berbahaya Kuala
Lumpur, S. Paidiyah Rau.
''Memang Meor diharapkan dapat
memberikan mata penuh pertama untuk Kuala Lumpur apabila menentang Terengganu,
malam ini.
''Tetapi dia tentulah
memerlukan bantuan rakan-rakan di barisan tengah mahu pun pertahanan untuk
merealisasikan impian itu,'' kata jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris.
Menurut Mat Zan, pengalaman
pemain itu ketika mewakili negara dalam Kejohanan Piala Tiger di Vietnam, Ogos
lalu diharap dapat digunakan sepenuhnya pada kempen Piala Malaysia ini.
Meor, 22, menjaringkan
keseluruhan 7 gol dalam Liga Perdana lalu, manakala Paidiya lima gol.
Walaupun Meor gagal membantu
skuad negara di Vietnam, pengalamannya itu dianggap senjata utama pasukan Kuala
Lumpur.
Aksi Meor pada awal Liga
Perdana lalu kurang menyerlah tetapi sentuhannya semakin berbisa pada
penghujung kempen apabila kerap menemui sasaran di depan gol untuk membantu
pasukannya beraksi dalam Piala Malaysia.
''Sentuhannya memang dilihat
semakin menjadi sebelum kempen Liga Perdana tamat. Biarpun selepas itu dia
gagal membantu negara di Vietnam, saya yakin dia mampu membantu Kuala Lumpur
dalam Piala Malaysia,'' ujar jurulatih itu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4OkOdRflh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan