ARKIB : 16/04/2000
Malam gemilang buat KL
BARISAN pemain dan pegawai
pasukan bola sepak Kuala Lumpur girang bersama Piala Sultan Ahmad Shah yang
dimenangi selepas menewaskan Brunei 2-1 pada perlawanan Sumbangsih di Stadium
KLFA, Cheras, semalam. - Gambar ROSNI MASRI
MALAM gemilang buat Kuala
Lumpur yang bermula cemerlang dalam bola sepak Liga Malaysia apabila berjaya
menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Brunei 2-1 pada perlawanan
Sumbangsih yang berlarutan sehingga masa tambahan di Stadium KLFA, Cheras,
semalam.
Penyerang kebangsaan, Mohd.
Nizaruddin Yusof menjaringkan gol emas ketika masa tambahan ifsudden-death baru
berusia seminit, selepas kedudukan sebenar terikat 1-1.
Nizaruddin melonjak tinggi
menanduk masuk gol kemenangan itu selepas menerima hantaran cantik pemain
pertahanan, Azali Mat Jusoh.
Kejayaan itu bagaimanapun hanya
memberikan satu mata buat pasukan juara Piala FA itu pada perlawanan yang juga
pembuka tirai Perdana Satu kerana peraturan masih mengikut format liga.
Sebaliknya permulaan yang
mengecewakan buat juara Piala Malaysia, Brunei walaupun memiliki kelebihan satu
gol sehingga babak akhir permainan.
Riwandi Wahit menanduk masuk
gol pembukaan seawal minit kesembilan untuk Brunei mendahului tetapi M. Eswaran
menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tiga minit untuk ditamatkan yang
memaksa masa tambahan.
Mulanya, pasukan tuan rumah
bagai serba tidak kena pada awal babak pertama dengan permainan agak
kucar-kacir, membolehkan Brunei menguasai bahagian tengah dan membuka permainan
dengan serangan-serangan berbahaya.
Keadaan itu bijak diambil
kesempatan pasukan pelawat yang menggunakan peluang terbaik itu untuk
mengejutkan Kuala Lumpur dengan gol awal.
Norsillmy Taha menyilangkan
bola sepakan bebas sebelah kanan menuju ke depan gawang Kuala Lumpur dan
Riwandi pantas menghulurkan kepala menanduk menewaskan Shaharudin Ahmad.
Kuala Lumpur berusaha bangkit
tetapi gagal menembusi barisan pertahanan lawan. Pergerakan penyerang
kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof dikunci ketat manakala bahagian tengah Kuala
Lumpur pula gagal berfungsi.
Begitupun, tuan rumah hampir
berjaya menyamakan kedudukan tiga minit sebelum berakhir babak pertama apabila
sepakan bebas Rosle Derus menyinggah tiang dan K. Nanthakumar lewat untuk
menyambar bola muntah sebelum pantas dikeluarkan Rosli Liman.
Brunei bagai tidak bernafsu
untuk menambah jaringan pada babak kedua apabila mereka lebih banyak bertahan
dan memberi peluang Kuala Lumpur melancarkan serangan-serangan bahaya.
Nizaruddin berkesempatan
melepaskan tendangan di depan gawang pada minit ke-75 dan 80 tetapi sempat
dihalang.
Jurulatih warga kota, Mat Zan
Mat Aris membawa masuk seorang lagi penyerang, Mohd. Farid Dewan yang menampakkan
kegarangan Kuala Lumpur.
Eswaran akhirnya menghadirkan
gol penyamaan yang dinanti-nanti sebelum Nizaruddin menghadirkan keceriaan buat
Kuala Lumpur.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TH2NuRsU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan