ARKIB : 16/06/1999
PEMAIN Sabah, Madzelan Emoi
(kanan sekali) terjatuh ketika berebut bola dengan pemain Kuala Lumpur, Mohd.
Nizaruddin Yusof (no.11) pada perlawanan separuh akhir pertama bola sepak Piala
FA di Stadium KLFA, Cheras, semalam. Kuala Lumpur menang 1-0. - Gambar
ASMARUDDIN JAMALUDDIN.
KUALA LUMPUR mengotakan janji
untuk mencatat kemenangan pada separuh akhir pertama bola sepak Piala FA
apabila menang 1-0 ke atas Sabah pada perlawanan di Stadium KLFA, Cheras,
semalam, lapor JOHARI SHAWAL.
Jaringan tunggal pemain
pertahanan, Mohd. Imran Ahmad pada minit kelapan sekali gus meleburkan rekod
kemenangan tujuh perlawanan berturut-turut Sabah dalam Liga Perdana sebelum
ini.
Begitupun, kemenangan tipis
semalam menyukarkan Kuala Lumpur apabila bertandang ke Likas, 25 Jun ini untuk
perlawanan timbal balik.
Namun, permainan menarik
disajikan kedua-dua pasukan tetapi masing-masing gagal melakukan penyudah yang
baik apabila barisan pertahanan kedua-dua pasukan beraksi cemerlang mengekang
lawan.
Setiap percubaan baik Kuala
Lumpur mahu pun Sabah sering tersekat di pertengahan jalan dan sebarang aksi
percubaan berbahaya ke gawang langsung tidak kelihatan.
Begitu pun, ketika perlawanan
baru masuk minit kelapan, pasukan tuan rumah tiba-tiba membuat kejutan apabila
berjaya menggegarkan jaring pasukan lawan untuk gol pembukaan.
S. Saravanan melorongkan bola
kepada Mohd. Nizaruddin Yusof yang mempamerkan skil menggelecek dua pertahanan
Sabah termasuk tonggak utama Veselin Kovacevic sebelum pantas meledakkan sepakan
kencang tetapi terkena tiang sebelah kiri Sabah.
Bola yang muntah keluar disepak
deras Mohd. Imran ketika penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamad tidak terdaya
mengekang sepakan leret pemain pertahanan itu.
Hanya satu peluang terbaik
hadir buat Sabah untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-38 hasil sepakan
sudut yang ditanduk Jelius Ating tetapi bola melewati sedikit atas palang gol
Kuala Lumpur.
Corak serupa dipamerkan
kedua-dua pasukan pada babak kedua tetapi Kuala Lumpur berpeluang menambah gol
kedua jika Nizaruddin terus melepaskan tendangan ke gawang sebelum dipintas
Jelius.
Hingga minit-minit terakhir
Sabah terus mencuba dan Kuala Lumpur bertahan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Rsjt5TGE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan