ARKIB : 04/06/1999
PEMAIN Kuala Lumpur, Azmir Nor
Hakim Burhan (tengah) berusaha mengawal bola daripada dirampas pemain Sarawak
pada perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala FA di Stadium KLFA, Cheras,
kelmarin. Kuala Lumpur mara ke separuh akhir selepas menang penalti 4-2 selepas
kedudukan agregat terikat 1-1.
KUALA LUMPUR seharusnya
melangkah ke separuh akhir bola sepak Piala FA dengan bergaya jika semua
peluang yang terhidang di depan mata pada perlawanan suku akhir kedua menentang
Sarawak kelmarin, mampu disempurnakan dengan baik.
Sebaliknya, mereka memilih cara
yang sukar sehingga terpaksa menentukan kemaraan menerusi penentuan sepakan
penalti selepas kedudukan agregat terikat 1-1 pada perlawanan di Stadium KLFA,
Cheras itu.
Hakikat itu diakui jurulatih
Mat Zan Mat Aris yang melahirkan kekecewaannya apabila Kuala Lumpur gagal
menyempurnakan banyak peluang pada perlawanan 90 minit termasuk tempoh 30 minit
masa tambahan.
''Kita sepatutnya sudah
mengesahkan kemaraan dalam tempoh 90 minit itu tetapi entah bagaimana, pemain
kita tidak mampu melakukannya.
''Kita banyak melepaskan
peluang keemasan di depan gol yang mana kalau dikira, sekurang-kurangnya kita
mendapat empat atau lima gol,'' katanya selepas perlawanan itu.
Begitu pun, Mat Zan lega
selepas anak buahnya tidak mengecewakannya apabila menang penentuan sepakan
penalti untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir, 15 Jun ini.
Kuala Lumpur ketinggalan 0-1
secara agregat kepada Sarawak yang menang 1-0 pada suku akhir pertama di
Kuching tetapi berjaya menyamakan kedudukan 1-1 di Cheras menerusi jaringan
tunggal G. Muthu, kelmarin.
Bagaimanapun, perlawanan suku
akhir kedua kelmarin yang jelas dikuasai Kuala Lumpur disia-siakan oleh barisan
depan warga kota terutama K. Hemadass yang banyak melepaskan peluang hingga
memaksa penentuan penalti selepas masa tambahan tidak mengubah kedudukan.
''Saya pada mulanya tidak yakin
kemenangan akan berpihak kepada kami semasa penentuan penalti kerana mengikut
rekod pasukan dalam liga, kita hanya menang sekali (kepada Kedah) dan tewas
tiga kali (daripada empat keputusan seri).
''Tetapi jaringan Eswaran untuk
menentukan kemenangan dalam penentuan itu amat melegakan kami,'' katanya.
Kuala Lumpur menang penalti 4-2
menerusi jaringan ketua pasukan P. Saravanan, Azali Mat Jusoh, Mohd. Nizaruddin
Yusof dan M. Eswaran.
Kuala Lumpur akan bertemu naib
juara musim lalu, Sabah pada separuh akhir pertama di Likas, 15 Jun ini sebelum
perlawanan timbal balik di Cheras pada 26 Jun.
Mengenai perlawanan dengan
Sabah nanti, Mat Zan percaya pemainnya mampu melakukan kejutan ke atas skuad
itu biarpun Sabah nampak semakin ghairah mengejar kemenangan sejak dibimbing
jurulatih Ken Worden.
''Jika melihat pertembungan
Kuala Lumpur dengan Sabah dalam liga, kemenangan memihak kepada kami dan saya
yakin pasukan mampu mengulangi kejayaan itu,'' ujarnya
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rpnz31fu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan