Selasa, 20 Disember 2016

KL semakin hampir, P. Pinang bernafsu tebus kehampaan

ARKIB : 27/04/2000
KUALA Lumpur semakin hampir mengulangi kejayaan, naib juara Terengganu kian galak dalam usaha menebus kekecewaan manakala Pulau Pinang dan Sarawak bersedia menyekat hasrat lawan masing-masing dalam kempen bola sepak Piala FA yang sudah memasuki peringkat separuh akhir, lapor JOHARI SHAWAL.

Sesudah tamat aksi suku akhir kelmarin, juara bertahan, Kuala Lumpur jelas tidak mahu lagi menoleh ke belakang.

Impian mereka untuk merangkul mahkota kejuaraan buat kali keempat dalam tempoh 10 tahun ini dan kali kedua berturut-turut kian menghampiri kenyataan.

Kemenangan agregat 2-1 ke atas Negeri Sembilan, sesudah berjaya mengikat si Rusa 0-0 di tempat sendiri kelmarin, membuktikan anak buah Mat Zan Mat Aris memiliki tekad tinggi untuk terus menyimpan piala kebanggaan itu.

Tetapi lawan mereka pada separuh akhir adalah Pulau Pinang, pasukan yang amat bernafsu untuk menebus kecewa sesudah terlepas mendakap piala itu tiga musim lalu.

Kekalahan 1-0 kepada Selangor pada perlawanan akhir kempen 1997, melebarkan lagi penantian skuad Pulau Mutiara untuk menjulang kejuaraan buat pertama kali.

Tentunya musim ini adalah pentas terbaik buat pasukan yang kali ini dibimbing Irfan Bakti untuk merampas piala itu, biarpun terpaksa berdepan dengan kekentalan barisan muda Mat Zan.

Namun berbanding Kuala Lumpur, catatan Pulau Pinang pada suku akhir agak berbeza. Mereka menang 3-1 pada suku akhir pertama di tempat sendiri tetapi tumbang 2-1 di gelanggang lawan. Bagaimanapun mereka menang agregat 4-3.

Keadaan itu pasti meresahkan Irfan apabila skuadnya berkunjung ke Cheras untuk perlawanan pertama separuh akhir, 16 Mei ini.

Cerita serupa dilalui Terengganu, yang tewas penentuan sepakan penalti kepada Kuala Lumpur pada perlawanan akhir musim lalu, apabila kecundang 3-1 kepada Pahang di tempat sendiri kelmarin.

Mujur bekalan kemenangan 3-0 di gelanggang lawan membolehkan pasukan Yunus Alif melangkah ke separuh akhir dengan agregat 4-3, biarpun dengan cara kurang bergaya.

Berdasarkan keputusan yang dicatat Pulau Pinang dan Terengganu dalam suku akhir kedua itu, pasti ia membuka peluang buat Kuala Lumpur dan Sarawak untuk melangkah ke akhir.

Mungkin inilah masa bagi skuad Jalil Rambli, lawan Terengganu pada separuh akhir, untuk kembali menguasai pentas Piala FA sesudah kali terakhir menjulangnya pada 1992.

Apa pun, pentas Piala FA berbeza dengan pertandingan liga. Keempat-empat pasukan tetap berpeluang ke akhir biarpun keputusan yang dicatat tidak mencerminkan kesungguhan masing-masing dalam kempen ini.

Cuma percaturan Mat Zan, Irfan, Yunus dan Jalil serta kepakaran kesebelasan pemain setiap pasukan di atas padang sahaja menentukan keputusan yang bakal diraih masing-masing.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4TNC7v9dU © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Disember 2016

KL ke separuh akhir

ARKIB : 26/04/2000
JUARA bertahan, Kuala Lumpur mara ke separuh akhir bola sepak Piala FA selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Pasukan Mat Zan Mat Aris sebelum ini menang 2-1 di Seremban, 11 April lalu dan layak menerusi agregat 2-1.

Menyedari pasukan pelawat akan berusaha habis-habisan, jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan meletakkan lima pemain di bahagian pertahanan untuk mengekang asakan lawan.

Negeri Sembilan berpeluang menghasilkan gol menerusi Adnan Md. Zin pada minit keenam dan Kamarul Idham lima minit kemudian tetapi penjaga gol tuan rumah, Kamarul Idham Amiruddin menyelamatkan keadaan.

Kuala Lumpur meneruskan formasi bertahan pada separuh kedua perlawanan dengan meletakkan lima pemain di bahagian pertahanan, tetapi masih mampu mencipta serangan kilat yang meresahkan kubu lawan.

Pada minit ke-59, penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof hampir menjaringkan gol sulung perlawanan apabila menanduk kencang bola sepakan sudut, tetapi penjaga gol Rusa, Mohd. Hamsani sudah bersedia menyelamatkan keadaan.

Negeri Sembilan berpeluang mengheret perlawanan ke masa tambahan sudden-death, namun sepakan percuma pada minit ke-87 yang dilakukan oleh Mohd. Shukor Adan dari jarak 20 meter tepat ke dakapan Kamarul Idham.

Perak pula menang 2-1 di Stadium Perak, Ipoh, tetapi gagal menyekat Pulau Pinang ke separuh akhir menerusi kemenangan agregat 4-3.

Selepas menang 3-1 pada suku akhir pertama dua minggu lalu, Pulau Pinang jelas bermain tanpa tekanan dengan kunci kejayaan mereka adalah ketenangan untuk mengekalkan kelebihan itu.

Malah mereka berupaya mengejutkan tuan rumah dengan gol pendahuluan jaringan Ooi Hoe Guan seawal minit keempat sebelum Perak membalas dua gol jaringan Liew Kit Kong (37) dan M. Nagaraja pada minit ke-54.

Pulau Pinang bagaimanapun bijak mengawal permainan sebaik bermula babak pertama dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk mengejut pasukan tuan rumah seawal minit keempat.

Gol berpunca daripada lontaran ke dalam Faizal Zainal di sebelah kanan pintu gol Perak yang disambut Moey Kok Hong dengan tandukan ke belakang tepat kepada Hoe Guan yang hanya menolak bola masuk.

Tersentak dengan gol itu, Perak mengasak, tetapi mendapati kubu pertahanan Pulau Pinang yang diterajui Khairil Zainal sukar ditembusi.

Perak memperoleh peluang terbaik pada minit ke-24 untuk menyamakan kedudukan, tetapi sepakan Abu Bakar Fadzim dari luar kotak penalti berjaya ditangkap kemas penjaga gol Pulau Pinang, Azlisham Ibrahim.

Asakan demi asakan akhirnya menyaksikan Perak berhasil menyamakan kedudukan apabila pada minit ke-37, sepakan lintang Mohd. Noor Derus disambut Kit Kong yang menyepak kencang menggegarkan jaring pelawat.

Babak kedua, Perak meneruskan asakan dan hanya sembilan minit permainan disambung, mereka menjaringkan gol menerusi M. Nagaraja pada minit ke-54.

Berpunca sepakan percuma Mohd. Noor di sebelah kiri pintu gol Pulau Pinang, tepat ke kepala K. Nanthakumar sebelum disambut Nagaraja dengan satu lagi tandukan untuk menggegar jaring.

Tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-70, tetapi sepakan Azrul dari luar kotak penalti dinafikan oleh hujung jari Azlisham yang menolak bola keluar.

Menyedari mereka masih ketinggalan dari segi agregat, Perak melakukan asakan bertubi-tubi, malah memasukkan dua penyerang kembar mereka, V. Saravanan dan Khalid Jamlus, tetapi masih gagal menghasilkan gol hingga tamat permainan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TKtp35FN © Utusan Melayu (M) Bhd

Kuala Lumpur sekat kemaraan N. Sembilan

ARKIB : 23/04/2000
SEKALI lagi, Kuala Lumpur mempamerkan aksi menarik dalam bola sepak Liga Perdana Satu, apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit untuk mencatat seri 3-3 dengan Negeri Sembilan di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi sepakan penalti M. Eswaran pada minit ke-23 tetapi babak pertama tamat dengan Kuala Lumpur ketinggalan 3-1 hasil jaringan Khairul Anuar Baharum minit ke-37 dan dua sentuhan Azman Adnan minit ke-42 dan 45.

Tetapi Azali Mat Jusoh menghidupkan semula perjuangan pasukan pada babak kedua menerusi rembatan kencangnya untuk gol kedua Kuala Lumpur minit ke-66 sebelum Azlan Hussain menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Kuala Lumpur dalam enam perlawanan berturut-turut dalam liga dan Piala FA.

Aksi baik pasukan tuan rumah pada awal permainan dengan kejutan dua percubaan dalam tempoh tiga minit pertama menerusi Mohd. Farid Dewan dan Mohd. Nizaruddin Yusof menampakkan kesungguhan Kuala Lumpur untuk terus mencatat kejayaan.

Tetapi gol pertama hanya hadir selepas 23 minit permainan apabila sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Kuala Lumpur selepas Nizaruddin dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Khairul, tidak disia-siakan pemain tengah, Eswaran.

Namun, ketika Kuala Lumpur ghairah untuk menambah jaringan, Khairul menebus kesilapannya pada minit ke-37 untuk gol penyamaan menerusi sepakan percuma terus ke gawang, mengelirukan Shaharuddin yang terpaku di depan pintu golnya.

Dan dua kesilapan Shaharuddin ketika perlawanan babak pertama berbaki lima minit digunakan sebaiknya oleh Azman. Ketika penjaga gol itu meluru keluar untuk menyekat satu hantaran jauh, Azmi Mohamed lebih dulu menanduk bola sebelum disambung Azman menanduk masuk ke gawang yang kosong minit ke-42.

Tiga minit kemudian, Shaharuddin sekali lagi keluar dari gawangnya untuk cuba menangkap bola hantaran jauh tetapi salah faham dengan S. Jayaprakash menyaksikan bola singgah ke kaki Azman yang mudah menolak ke gawang untuk gol ketiga Negeri Sembilan.

Menyedari kepayahan aksi Shaharuddin, jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris mengeluarkannya pada babak kedua menggantikan Kamarul Idham Amiruddin.

Dan Kuala Lumpur yang sedar mereka ketinggalan, berusaha keras merapatkan kedudukan dan usaha mereka berjaya pada minit ke-66. Nizaruddin melorongkan bola kepada Azali di luar kotak penalti dan bek kanan itu menyepak kencang menewaskan Hamsani.

Dua minit selepas itu, Azlan meluru ke depan gawang dan melonjak tinggi menanduk masuk gol penyamaan hasil sepakan sudut Shawal Johadi.

KUALA LUMPUR: Shaharuddin Ahmad (Kamarul Idham Amiruddin), M. Karunakaran, Azali Mat Jusoh, Imran Ahmad, S. Jayaprakash, Azlan Hussain, S. Saravanan, Shawal Johadi (Rosle Derus), M. Eswaran (K. Nanthakumar), Mohd. Farid Dewan, Mohd. Nizaruddin Yusof.

NEGERI SEMBILAN: Mohd. Hamsani Ahmad, Nor Hisham Kamaruddin, Khairul Anuar Baharum, Adnan Md. Zin, Leong Hong Seng, Chow Chee Weng, Efendi Malek, Wong Sai Kong, Shukor Adan (Shahrizam Mohd), Azmi Mohamed (Noor Isham Ismail), Azman Adnan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TIcVl2ML © Utusan Melayu (M) Bhd

KL yakin strategi terbaik

ARKIB : 22/04/2000
JUARA Sumbangsih dan penyandang juara Piala FA, Kuala Lumpur akan mengamalkan strategi dan corak permainan serupa dengan aksi-aksi terdahulu, apabila turun menentang Negeri Sembilan pada perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium KLFA, Cheras, malam ini.

Jurulatih pasukan, Mat Zan Mat Aris berkata, beliau merasakan tidak perlu merombak sistem dan strategi pasukan kerana yakin dengan yang diamalkan ketika ini yang telah memberi hasil.

''Kita akan bermain seperti biasa. Saya pasti strategi yang diamalkan pasukan dalam lima perlawanan awal ini menampakkan kesan. Kita akan teruskan seperti itu... cuma mungkin sedikit perubahan dilakukan,'' kata Mat Zan, semalam.

Kuala Lumpur bermula cemerlang dalam kempen awal Liga Malaysia musim ini. Mereka belum tewas dalam lima perlawanan berturut-turut.

Mereka menyingkir Selangor pada pusingan kedua Piala FA selepas seri 1-1 dan menang 1-0 untuk menang agregat 2-1. Mereka kemudian menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada suku akhir pertama.

Dalam pembukaan Perdana Satu, Kuala Lumpur seri 1-1 untuk berkongsi satu mata dengan Brunei sebelum memperoleh gol emas untuk menentukan juara perlawanan Sumbangsih. Selepas itu, Kuala Lumpur tidak menoleh ke belakang apabila membenam Sarawak di 2-1 dalam Perdana Satu.

Untuk perlawanan malam ini, Mat Zan mungkin tidak menurunkan penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof kerana cedera buku lalinya belum pulih.

Mohd. Farid Dewan akan memikul tugas barisan serangan bersama K. Nanthakumar. G. Muthu yang turut cedera, direhatkan dan tempatnya di bahagian tengah diisi Shawal Johadi yang menunjukkan aksi cemerlang dalam perlawanan dengan Sarawak, Selasa lalu.

M. Karunakaran yang tidak bermain dalam dua perlawanan pertama Liga Malaysia akibat cedera, tetapi diturunkan Mat Zan di Kuching, akan terus memperkukuhkan barisan pertahanan bersama Azlan Hussain, Imran Ahmad dan Azali Mat Jusoh.

''Negeri Sembilan pasti akan berhabis-habisan malam esok untuk mengimbangi rekod pertemuan. Kita cuma ada penyokong sendiri dan bermain di gelanggang sendiri,'' katanya.

Kuala Lumpur memiliki rekod lebih cemerlang ke atas Negeri Sembilan berdasarkan dua pertemuan terakhir mereka musim ini.

Sebelum menang 2-1 pada suku akhir pertama Piala FA di Seremban minggu lalu, mereka mencatat kemenangan 3-1 dalam persahabatan sebelum Liga Malaysia bermula.

Kuala Lumpur kini di tangga kedua liga dengan empat mata di belakang Johor selepas dua perlawanan, sesudah merakamkan seri 1-1 dengan Brunei dan menang 2-1 ke atas Sarawak.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TI6Hrl00 © Utusan Melayu (M) Bhd

KL bukan pasukan hingusan lagi..

ARKIB : 18/04/2000.
DUA tahun lalu, mereka dianggap pasukan mentah lagi hingusan kerana dibarisi pemain yang masih hijau dalam bola sepak liga tempatan, lapor JOHARI SHAWAL.

Tahun ini, Kuala Lumpur masih menggunakan pemain yang serupa, malah terus mengambil pemain mentah, rata-ratanya dari Liga Simpanan mereka.

Tindakan berani mereka rupanya memberikan hasil yang dikira lumayan. Meskipun tanpa pemain berstatus bintang, Kuala Lumpur telah membuktikan kebenaran ungkapan 'usaha tangga kejayaan'.

Mereka kini harus diakui sebuah pasukan yang sudah mampu 'berdiri sama tinggi' dengan pasukan gergasi lain sehingga kini digelar 'pasukan paling berbahaya'.

Tentu skuad bimbingan jurulatih Mat Zan Mat Aris itu amat dicemburui lawan sesudah gagah mengetepikan pasukan-pasukan gergasi untuk menjulang mahkota Piala FA musim lalu.

Dan terbaru, mereka terus mengeluarkan isyarat garang dengan merangkul piala pembuka tirai Liga Perdana, Piala Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan Sumbangsih menentang juara Piala Malaysia, Brunei, Sabtu lalu.

Jelas sekali Kuala Lumpur, yang sekadar memiliki beberapa bekas pemain Olimpik 2000 dan seorang pemain kebangsaan, tidak sunyi daripada mencipta kejutan.

Mungkin gelaran 'orang besi' yang diraih Mat Zan satu ketika dulu, sudah menurun kepada skuadnya yang diasah sejak tiga tahun lalu.

Namun, Mat Zan menyimpan gusar walaupun skuad bimbingannya telah berjaya menambah koleksi piala.

''Satu kejayaan tetapi ia tidak harus menjadi satu faktor yang menyebabkan pemain dibuai leka.

''Saya khuatir pasukan akan jadi 'besar kepala' dan mula leka dengan tugas sebenar yang sedang dipikul. Kita masih jauh daripada kejayaan,'' tegas Mat Zan.

Kerana itu, jurulatih itu mahu melihat komitmen sebenar pemain apabila turun menentang Sarawak pada saingan Perdana Satu di Stadium Sarawak, malam ini.

Sesudah mengikat Brunei 1-1 selepas tamat masa penuh perlawanan untuk mereka berkongsi satu mata dalam Perdana Satu, dan menang dalam masa tambahan untuk merangkul Piala Sultan Ahmad Shah, Mat Zan pasti tidak sabar menilai prestasi anak buahnya dalam Liga Perdana.

''Kemenangan itu hanya permulaan... halangan besar lebih banyak menanti,'' kata Mat Zan.

Kuala Lumpur juga masih dalam kempen Piala FA selaku juara bertahan dan tampak bakal mengetepikan cabaran Negeri Sembilan apabila mereka bertemu sekali lagi untuk suku akhir kedua di Cheras, Selasa depan.

Mereka mengejutkan skuad itu 2-1 di Seremban pada suku akhir pertama sesudah menyingkir juara 1997, Selangor menerusi agregat 2-1 pada pusingan kedua sebelum itu

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4THVLRGtp © Utusan Melayu (M) Bhd

Malam gemilang buat KL


 

ARKIB : 16/04/2000
Malam gemilang buat KL
BARISAN pemain dan pegawai pasukan bola sepak Kuala Lumpur girang bersama Piala Sultan Ahmad Shah yang dimenangi selepas menewaskan Brunei 2-1 pada perlawanan Sumbangsih di Stadium KLFA, Cheras, semalam. - Gambar ROSNI MASRI

MALAM gemilang buat Kuala Lumpur yang bermula cemerlang dalam bola sepak Liga Malaysia apabila berjaya menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Brunei 2-1 pada perlawanan Sumbangsih yang berlarutan sehingga masa tambahan di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof menjaringkan gol emas ketika masa tambahan ifsudden-death baru berusia seminit, selepas kedudukan sebenar terikat 1-1.

Nizaruddin melonjak tinggi menanduk masuk gol kemenangan itu selepas menerima hantaran cantik pemain pertahanan, Azali Mat Jusoh.

Kejayaan itu bagaimanapun hanya memberikan satu mata buat pasukan juara Piala FA itu pada perlawanan yang juga pembuka tirai Perdana Satu kerana peraturan masih mengikut format liga.

Sebaliknya permulaan yang mengecewakan buat juara Piala Malaysia, Brunei walaupun memiliki kelebihan satu gol sehingga babak akhir permainan.

Riwandi Wahit menanduk masuk gol pembukaan seawal minit kesembilan untuk Brunei mendahului tetapi M. Eswaran menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tiga minit untuk ditamatkan yang memaksa masa tambahan.

Mulanya, pasukan tuan rumah bagai serba tidak kena pada awal babak pertama dengan permainan agak kucar-kacir, membolehkan Brunei menguasai bahagian tengah dan membuka permainan dengan serangan-serangan berbahaya.

Keadaan itu bijak diambil kesempatan pasukan pelawat yang menggunakan peluang terbaik itu untuk mengejutkan Kuala Lumpur dengan gol awal.

Norsillmy Taha menyilangkan bola sepakan bebas sebelah kanan menuju ke depan gawang Kuala Lumpur dan Riwandi pantas menghulurkan kepala menanduk menewaskan Shaharudin Ahmad.

Kuala Lumpur berusaha bangkit tetapi gagal menembusi barisan pertahanan lawan. Pergerakan penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof dikunci ketat manakala bahagian tengah Kuala Lumpur pula gagal berfungsi.

Begitupun, tuan rumah hampir berjaya menyamakan kedudukan tiga minit sebelum berakhir babak pertama apabila sepakan bebas Rosle Derus menyinggah tiang dan K. Nanthakumar lewat untuk menyambar bola muntah sebelum pantas dikeluarkan Rosli Liman.

Brunei bagai tidak bernafsu untuk menambah jaringan pada babak kedua apabila mereka lebih banyak bertahan dan memberi peluang Kuala Lumpur melancarkan serangan-serangan bahaya.

Nizaruddin berkesempatan melepaskan tendangan di depan gawang pada minit ke-75 dan 80 tetapi sempat dihalang.

Jurulatih warga kota, Mat Zan Mat Aris membawa masuk seorang lagi penyerang, Mohd. Farid Dewan yang menampakkan kegarangan Kuala Lumpur.

Eswaran akhirnya menghadirkan gol penyamaan yang dinanti-nanti sebelum Nizaruddin menghadirkan keceriaan buat Kuala Lumpur.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TH2NuRsU © Utusan Melayu (M) Bhd

KL buru Sumbangsih

ARKIB : 13/04/2000
SESUDAH mengejutkan Negeri Sembilan pada suku akhir pertama Piala FA kelmarin, skuad bola sepak Kuala Lumpur kini memburu satu lagi penghormatan, menjulang Piala Sultan Ahmad Shah pada perlawanan Sumbangsih menentang Brunei Sabtu ini, perlawanan pembuka tirai kempen Liga Perdana 2000, lapor JOHARI SHAWAL.

Jurulatih pasukan, Mat Zan Mat Aris berkata, kemenangan dalam perlawanan itu penting kerana ia mampu meningkatkan lagi semangat dan kesungguhan pemain untuk beraksi dalam kempen liga penuh mencabar musim ini.

''Kita memang idamkan kemenangan pada perlawanan ini. Kami tahu pasukan kami sekarang dicemburui oleh pasukan lain.

''Jika kami menang, pasti kami terus dicemburui dan secara tidak langsung pasukan lain akan tertekan dan ia memberi satu kelebihan kepada kami.

''Tetapi saya harap pemain tidak pula tertekan dengan kedudukan mereka sekarang,'' kata Mat Zan, semalam.

Perlawanan Sumbangsih musim ini menemukan Kuala Lumpur selaku juara Piala FA 1999 dengan juara Piala Malaysia musim lalu, Brunei yang akan berlangsung di Stadium KLFA, Cheras.

Mat Zan mengakui pertemuan pasukannya dengan Brunei dianggap sukar kerana mereka tidak mengetahui kekuatan pasukan lawan itu setakat ini.

''Kami tidak berjumpa dalam sebarang perlawanan persahabatan atau mendapat sebarang berita mengenai pasukan itu dalam waktu terdekat ini tetapi kami akan beraksi dengan hati-hati,'' kata Mat Zan.

Begitupun, Kuala Lumpur pasti lega dengan kehadiran semula penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof yang baru selesai berjuang untuk negara pada kempen kelayakan Piala Asia, minggu lalu.

Nizaruddin, 21, bakal bergandingan dengan penyerang sedia ada yang kelihatan semakin menunjukkan peningkatan, Mohd. Farid Dewan pada pertemuan dengan Brunei nanti.

Farid menjaringkan gol kemenangan ketika barisan muda Kuala Lumpur menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada suku akhir pertama Piala FA kelmarin.

Sentuhan penyerang berusia 21 tahun itu turut memberikan kejayaan buat Kuala Lumpur ketika mereka menang 1-0 ke atas juara 1997, Selangor pada perlawanan kedua pusingan kedua yang membawa mereka ke peringkat suku akhir dengan agregat 2-1.

Biarpun kemenangan ke atas Negeri Sembilan belum lagi mengesahkan kemaraan mereka ke separuh akhir, namun Mat Zan mampu mencongak peluang berdasarkan persembahan skuadnya di tempat lawan itu.

''Mereka menang kerana kerja keras di padang. Mereka berikan komitmen terbaik dan tentulah hasil yang diterima dikira berbaloi,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TGrHh36R © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Disember 2016

Juara bertahan, KL bangkit selepas ketinggalan


 

ARKIB : 12/04/2000
Juara bertahan, KL bangkit selepas ketinggalan
PEMAIN pertahanan Kuala Lumpur, Azlan Meri (kanan) cuba menghalang penyerang Negeri Sembilan, Chow Chee Weng dari melarikan bola ke dalam kawasan kotak penalti pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi semalam. Kuala Lumpur menang 2-1. - Gambar MOHD. NOOR AMIN.

JARINGAN penyerang, Mohd. Farid Dewan menerusi tandukan cantik lima minit sebelum perlawanan tamat memastikan penyandang juara, Kuala Lumpur mencatat kemenangan tipis 2-1 pada perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi semalam.

Walaupun beraksi tanpa kehadiran penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof yang mewakili pasukan negara ke kelayakan Piala Asia di Bangkok baru-baru ini, skuad ibu kota bertindak cemerlang pada 20 minit terakhir perlawanan untuk bangkit dengan dua gol.

Selepas beraksi hambar pada permainan separuh masa pertama, skuad Rusa mula mendapat rentak apabila penyerang sensasinya Azman Adnan membuat percubaan pada minit ke-41 dan 61 namun sepakannya tersasar.

Begitupun, Mohd. Shukor Adan menghadirkan ceria skuad tuan rumah apabila merembat kencang ke sebelah kiri gawang selepas menerima umpanan Effendi Abdul Malik pada minit ke-67 yang sama sekali gagal ditepis oleh penjaga gol pelawat, Shaharuddin Ahmad.

Bagaimanapun, jaringan tersebut sebaliknya hanya menyemarakkan skuad Kuala Lumpur yang segera bertindak balas dengan gerakan-gerakan kemas ke arah kubu pasukan tuan rumah.

Hasilnya, Kuala Lumpur berjaya menyamakan kedudukan hanya 11 minit kemudian menerusi pemain gantian, G. Muthu.

Dia yang masuk pada minit ke-50 menggantikan K. Nanthakumar pantas mengambil peluang di hadapan pintu gol apabila menanduk masuk umpanan Mohd. Shawal Johadi.

Mohd. Shawal sekali lagi menjadi pemimpin kebangkitan Kuala Lumpur apabila hantaran lintang yang dilakukannya disambut dengan tandukan cantik Farid pada minit ke-85.

Gol tersebut semakin menghidupkan perlawanan apabila Negeri Sembilan cuba mencari gol penyamaan menerusi beberapa serangannya namun gagal menghalang skuad pelawat membawa pulang bekalan selesa untuk suku akhir kedua di Kuala Lumpur.

Oleh: HATA WAHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TG2wNju6 © Utusan Melayu (M) Bhd

KL mara ke suku akhir

April 2000
ARKIB : 02/04/2000
SENTUHAN gol pada lewat permainan menerusi penyerang, Mohd. Farid Dewan memastikan juara bertahan, Kuala Lumpur merangkul kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam semalam, sekali gus melangkah ke suku akhir bola sepak Piala FA dengan agregat 2-1.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan pertama di Cheras Ahad lalu dan jaringan berharga Farid di gelanggang lawan itu hadir ketika perlawanan berbaki 20 minit untuk ditamatkan.

Sarawak turut ke suku akhir selepas menewaskan Johor FC 3-0 di Stadium Sarawak, Kuching.

Sarawak diikat 2-2 pada perlawanan peringkat pertama di Pasir Gudang dengan agregat 5-2.

Zulkarnien membuka jaringan pertama Sarawak pada minit ke-19 selepas berlaku pergelutan di hadapan pintu gol Johor FC.

Sarawak terus mendahului apabila Abang Mohd. Zafari Abang Othman menyempurnakan sepakan penalti minit ke-82 sebelum pemain veteran Mohd. Ali Sapiee menjaringkan gol ketiga pada minit ke-90.

Juara edisi sulung 1990, Perak pula menafikan hasrat TNB Kelantan untuk mara ke suku akhir apabila menang dengan agregat 4-1 selepas seri 1-1 dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohd. ke-IV, Kota Bharu semalam.

Gol pelawat diperoleh menerusi penyerang Liew Kit Kong pada minit ke-70 selepas berjaya mengelecek pertahanan lawan dan melepaskan rembatan kencang menewaskan Azlan Ismail.

Berbekalkan kelebihan tiga gol ketika bertandang ke gelanggang lawan, Perak bermain dalam keadaan selesa meskipun benteng pertahanan mereka sering digugat.

JKR Kelantan gagal untuk melakukan kejutan biarpun memperoleh jaringan pembukaan pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebelum tewas 5-1 kepada Negeri Sembilan.

Skuad Rusa yang dikejutkan dengan kekalahan 2-1 di Kota Bharu pada perlawanan pertama, bangkit setelah ketinggalan menerusi jaringan Cik Hishammuddin Hassan minit ke-29 dengan lima gol kemudian untuk mara ke suku akhir dengan agregat 6-3.

Mohd. Shukor Adan menjaringkan dua gol untuk Negeri Sembilan pada minit ke-50 dan 78 manakala satu gol masing-masing dijaringkan oleh Azman Adnan (58), Norisham Ismail (62) dan Effendi Malek (66).

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah menempah tiket ke suku akhir apabila menewaskan Melaka dengan agregat 7-1 selepas berpesta gol 6-0.

Tiga gol Kenari dijaringkan pada separuh masa pertama menerusi Che Zambil Ahmad pada minit keenam dan 18 dan Norizam Ali Hassan pada minit ke-38.

Baki gol yang dijaringkan pada separuh masa kedua dihasilkan oleh Mohd. Sofi Md. Isa (82), Ahmad Zalghafari Manaf (83) dan Azrin Shah Zainal (85).

Pada perlawanan pertama di Paroi, Seremban, minggu lepas, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pulau Pinang turut melakar kejayaan besar untuk melangkah ke suku akhir dengan membelasah Chempaka NS 6-0 di Stadium Bandaraya.

Skuad Pulau Mutiara itu mara dengan aggregat 8-1 setelah menang 2-1 di Seremban.

S. Nanthakumar memulakan pesta gol Pulau Pinang menerusi jaringan minit ke-45 sebelum Wong Kah Loon menambah gol pada minit ke-63.

Hasmawi Hassan menambah derita Chempaka NS dengan dua gol jaringannya minit ke-72 dan 78 manakala Faizal Zainal dan R. Suresh Kumar menambah jaringan tuan rumah dengan jaringan minit ke-73 dan 85.

Pahang terpaksa bermain sehingga penentuan sepakan penalti sebelum menang 3-1 selepas perlawanan sebenar terikat 1-1 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pahang membuka jaringan pada minit ke-39 menerusi Badrul Afzan Razali tetapi pemain Johor, Nazreen Tee Abdullah menyamakan kedudukan minit ke-58.

Terengganu tidak berputih mata di gelanggang sendiri apabila berjaya menundukkan Kelantan 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk ke suku akhir.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TBCrsu00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 9 Disember 2016

KL janji gempur Tok Gajah

ARKIB : 28/09/1999
PERTEMBUNGAN antara dua juara, Kuala Lumpur dan Pahang dalam bola sepak Piala Malaysia malam ini dianggap paling menarik daripada enam perlawanan yang berlangsung.

Juara Piala FA, Kuala Lumpur pantas memberi amaran mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada Pahang apabila mereka bertemu pada perlawanan kedua kumpulan B di Stadium KLFA, Cheras.

Skuad muda itu kini sedang menyusun strategi terbaik untuk mengekang juara Perdana Satu itu yang dianggap jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris sebagai pasukan terbaik musim ini.

''Pahang memiliki pemain yang benar-benar komited dalam semua perlawanan dan mempunyai pemain berkaliber dan ternama. Gandingan Azizul Kamaluddin-Wan Rohaimi Ismail nampaknya semakin serasi dan kerap menemui sasaran.

''Begitu juga bahagian tengah yang dikemudi Ahmad Shahruddin Rosdi dan Tengku Hazman Raja Hassan. Semua mereka adalah pemain kebangsaan.

''Memang saya risau pertemuan dengan mereka malam esok (ini) apalagi Kuala Lumpur dibarisi pemain muda yang kurang pengalaman... tetapi tidak bermakna kami akan memberi laluan mudah kepada mereka,'' kata Mat Zan, semalam.

Menurut jurulatih itu, walaupun sedar mereka bakal berdepan dengan masalah, semua pemain tetap bersemangat untuk menebus kecewa gagal pada perlawanan pembukaan dengan Brunei, Sabtu lepas.

''Selepas tewas di Brunei, perlawanan di tempat sendiri ini akan kami gunakan sebaik-baiknya. Harap-harap kami dapat mengulangi kemenangan dalam liga tahun ini di sini,'' katanya.

Dalam kempen Liga Perdana Satu musim ini, Kuala Lumpur mengejutkan pasukan juara itu 1-0 di Cheras selepas seri tanpa jaringan di Kuantan.

Sabtu lalu, Kuala Lumpur mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan penyerangnya, Mohd. Nizaruddin Yusof tetapi kelalaian barisan pertahanan pada babak kedua menyaksikan Brunei berjaya merobek gawang lawan sebanyak tiga kali.

Pahang pula baru segar dengan kemenangan 1-0 ke atas juara Perdana Dua, Johor dalam perlawanan pembukaan menerusi jaringan Azizul.

''Pahang akan berusaha melebarkan kemenangan tetapi Kuala Lumpur juga memerlukan kemenangan. Perlawanan ini pasti hebat,'' tambah Mat Zan.

Begitu pun, Mat Zan agak risau dengan keadaan dua pemain utamanya, pemain tengah Azmir Nor Hakim Burhan dan penyerang Mohd. Farid Dewan.

''Azmir mengalami kecederaan lutut selepas berlaga dengan pemain Brunei tempoh hari dan saya difahamkan dia mungkin terpaksa direhatkan seminggu.

''Farid pula cedera di betis tetapi saya pasti dia dapat beraksi malam esok. Pemain lain pula nampaknya tidak menghadapi masalah,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SM0YRWS3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Pemain komited pilihan KL

ARKIB : 23/09/1999
GELARAN juara berganda menjadi idaman Kuala Lumpur, tetapi pasukan muda itu menghadapi laluan amat getir dalam bola sepak Piala Malaysia musim ini apabila diletakkan dalam kumpulan gagah.

Namun, skuad juara Piala FA itu sudah bersedia menghadapi kempen berprestij edisi ke-33 itu dengan semangat Piala FA dibawa bersama.

Jurulatih Mat Zan Mat Aris berkata, selepas beberapa perlawanan persahabatan diharungi sebagai persiapan mereka, skuad muda itu kelihatan berkobar-kobar untuk mencipta satu lagi kejayaan.

Dengan kehadiran tiga pemain Olimpik 2000, Yuzaiman Zahari, S. Jayaprakash dan Mohd. Shawal Johadi, menambahkan lagi semangat Kuala Lumpur untuk membuka kempen dengan nota gemilang.

Namun, menurut jurulatih tersebut, tambahan pemain itu telah mewujudkan persaingan antara pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

''Dengan adanya tiga pemain Olimpik ini, persaingan wujud untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, tetapi ia sebenarnya adalah satu perkembangan sihat.

''Saya terpaksa memilih mereka yang benar-benar komited untuk diberi peluang membawa cabaran,'' katanya.

Selain tiga pemain pertahanan itu, Kuala Lumpur memiliki beberapa lagi pemain berwibawa di barisan belakang termasuk pemain kebangsaan M. Karunakaran, Azali Mat Jusoh, Mohd. Imran Ahmad dan ketua pasukan, P. Saravanan.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur terus menyandarkan harapan kepada pengalaman dua penyerangnya, Mohd. Nizaruddin Yusof dan penjaring terbanyak Mohd. Farid Dewan.

Dua penyerang ini dan pemain tengah, Azmin Nor Hakim Burhan serta K. Nanthakumar diberi tempoh singkat mencari pengalaman di peringkat antarabangsa dengan mewakili negara ke Kejohanan Bola Sepak Piala Kemerdekaan Bangladesh, bulan lalu.

''Harapan untuk pergi jauh nampak sulit sebab kita berada dalam kumpulan terkuat.

''Tetapi saya yakin mereka mampu menggunakan pengalaman itu sebaik mungkin dalam Piala Malaysia,'' ujar Mat Zan.

Kuala Lumpur diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama juara liga, Pahang, juara Perdana Dua, Johor, Sabah, Sarawak dan Brunei.

Kempen musim lalu menyaksikan pasukan Mat Zan gagal melepasi peringkat awal perlawanan kumpulan dengan hanya meraih dua kemenangan.

Mengenai perlawanan pembukaan menentang Brunei di Bandar Seri Begawan Sabtu ini, Mat Zan mengarahkan pemainnya supaya berhati-hati dengan skuad Borneo itu.

''Brunei semakin menampakkan kemajuan apalagi bermain di tempat sendiri. Kita perlu berhati-hati,'' katanya.

Dalam kempen liga musim ini, Kuala Lumpur menang kedua-dua pertemuan dengan Brunei, menang 4-3 di Bandar Seri Begawan dan 3-1 di Cheras.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SKgDzePU © Utusan Melayu (M) Bhd