ARKIB : 27/04/2000
KUALA Lumpur semakin hampir
mengulangi kejayaan, naib juara Terengganu kian galak dalam usaha menebus
kekecewaan manakala Pulau Pinang dan Sarawak bersedia menyekat hasrat lawan
masing-masing dalam kempen bola sepak Piala FA yang sudah memasuki peringkat
separuh akhir, lapor JOHARI SHAWAL.
Sesudah tamat aksi suku akhir
kelmarin, juara bertahan, Kuala Lumpur jelas tidak mahu lagi menoleh ke
belakang.
Impian mereka untuk merangkul
mahkota kejuaraan buat kali keempat dalam tempoh 10 tahun ini dan kali kedua
berturut-turut kian menghampiri kenyataan.
Kemenangan agregat 2-1 ke atas
Negeri Sembilan, sesudah berjaya mengikat si Rusa 0-0 di tempat sendiri
kelmarin, membuktikan anak buah Mat Zan Mat Aris memiliki tekad tinggi untuk
terus menyimpan piala kebanggaan itu.
Tetapi lawan mereka pada
separuh akhir adalah Pulau Pinang, pasukan yang amat bernafsu untuk menebus
kecewa sesudah terlepas mendakap piala itu tiga musim lalu.
Kekalahan 1-0 kepada Selangor
pada perlawanan akhir kempen 1997, melebarkan lagi penantian skuad Pulau
Mutiara untuk menjulang kejuaraan buat pertama kali.
Tentunya musim ini adalah
pentas terbaik buat pasukan yang kali ini dibimbing Irfan Bakti untuk merampas
piala itu, biarpun terpaksa berdepan dengan kekentalan barisan muda Mat Zan.
Namun berbanding Kuala Lumpur,
catatan Pulau Pinang pada suku akhir agak berbeza. Mereka menang 3-1 pada suku
akhir pertama di tempat sendiri tetapi tumbang 2-1 di gelanggang lawan.
Bagaimanapun mereka menang agregat 4-3.
Keadaan itu pasti meresahkan
Irfan apabila skuadnya berkunjung ke Cheras untuk perlawanan pertama separuh
akhir, 16 Mei ini.
Cerita serupa dilalui
Terengganu, yang tewas penentuan sepakan penalti kepada Kuala Lumpur pada
perlawanan akhir musim lalu, apabila kecundang 3-1 kepada Pahang di tempat
sendiri kelmarin.
Mujur bekalan kemenangan 3-0 di
gelanggang lawan membolehkan pasukan Yunus Alif melangkah ke separuh akhir
dengan agregat 4-3, biarpun dengan cara kurang bergaya.
Berdasarkan keputusan yang
dicatat Pulau Pinang dan Terengganu dalam suku akhir kedua itu, pasti ia
membuka peluang buat Kuala Lumpur dan Sarawak untuk melangkah ke akhir.
Mungkin inilah masa bagi skuad
Jalil Rambli, lawan Terengganu pada separuh akhir, untuk kembali menguasai
pentas Piala FA sesudah kali terakhir menjulangnya pada 1992.
Apa pun, pentas Piala FA
berbeza dengan pertandingan liga. Keempat-empat pasukan tetap berpeluang ke
akhir biarpun keputusan yang dicatat tidak mencerminkan kesungguhan
masing-masing dalam kempen ini.
Cuma percaturan Mat Zan, Irfan,
Yunus dan Jalil serta kepakaran kesebelasan pemain setiap pasukan di atas
padang sahaja menentukan keputusan yang bakal diraih masing-masing.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4TNC7v9dU
© Utusan Melayu (M) Bhd