Ahad, 13 November 2016

Skuad K. Lumpur perlukan pendedahan -- Mengesan segala kelemahan dalam pasukan - Mat Zan

ARKIB : 17/02/1999
KUALA Lumpur memerlukan lebih banyak perlawanan persahabatan bagi meningkatkan persembahan dan prestasi pasukan yang begitu hambar ketika ini menjelang kempen bola sepak Liga Malaysia yang bermula bulan depan.

Jurulatih Mat Zan Mat Aris berkata, walaupun Liga Malaysia akan bermula dalam tempoh yang singkat kira-kira lima bulan lagi, beberapa perlawanan persahabatan dirasakan perlu.

''Kurangnya perlawanan persahabatan menyukarkan saya untuk mencari kelemahan pasukan dan kemudian merencanakan sistem dan taktik permainan sebenar.

''Berlatih sendiri sahaja tidak dapat memberikan pendedahan kepada pemain kerana pemain kurang menumpukan kepada permainan masing-masing semasa bermain.

''Tetapi dalam perlawanan persahabatan barulah kita nampak prestasi dan keupayaan seseorang pemain itu dan segala kelemahan pasukan dapat kita kenal pasti,'' katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh itu kata jurulatih itu, Kuala Lumpur harus memperbanyakkan perlawanan persahabatan bagi tujuan itu biarpun kempen Liga Malaysia akan bermula sebulan lagi.

Kuala Lumpur, yang lewat menjalani latihan akibat sedikit masalah yang wujud dalam persatuan bola sepak negeri itu, setakat ini hanya mengharungi tiga perlawanan persahabatan, menentang Majlis Perbandaran Subang Jaya (menang 2-0) dan skuad Piala Bardhan Kuala Lumpur (seri 1-1) sebelum menentang pasukan Liga Perdana Johor di Stadium Cheras, kelmarin.

Dalam perlawanan menentang Johor, pasukan warga kota mendahului 2-1 menerusi jaringan Meor Nor Samsul Kamal dan P. Saravanan tetapi Johor yang menurunkan dua bekas pemain yang beraksi dengan Kuala Lumpur musim lalu, M. Chandran dan Liew Kim Tu selain bintang Kelantan, Hashim Mustapha, menyamakan kedudukan pada minit terakhir permainan.

''Perlawanan menentang Johor sudah cukup memberi banyak pengajaran kepada kami. Terlalu banyak kelemahan yang kita nampak.

''Daripada pertahanan hingga serangan tidak menampakkan kemantapan yang dimahukan. Mereka masih kurang tumpuan,'' kata Mat Zan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PtJUcvgv © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan