ARKIB : 09/10/1998
KEMENANGAN tipis 1-0 ke atas
juara Perdana Satu, Pulau Pinang masih belum membayangkan keupayaan sebenar
Kuala Lumpur yang perlu memperbaiki jentera serangannya bagi menghadapi Negeri
Sembilan dalam perlawanan Kumpulan A, Piala Malaysia, malam esok, lapor ZAINU'L
AZHAR ASH'ARI.
Walaupun Pulau Pinang yang
sebelum ini membelasah Negeri Sembilan 4-1 dan menewaskan Kedah 2-1 di Stadium
Darul Aman berjaya ditumpaskannya, Kuala Lumpur masih sangsi di atas kemampuan
sebenar barisan serangannya.
Jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan
Mat Aris berkata, selepas seri dengan Terengganu dan menang tipis ke atas Pulau
Pinang, pasukan bimbingannya perlu memperbaiki beberapa kelemahan yang ketara.
''Antaranya, saya dapati mereka
(penyerang) tidak mempunyai penyudah yang benar-benar berkesan sekalipun
memperoleh kesempatan cukup baik di depan pintu gol lawan.
''Bagaimanapun, saya berpuas
hati dengan pencapaian pemain terutamanya barisan tengah, pertahanan dan
penjaga gol, Amin Azram Abdul Aziz yang bijak menyekat kemaraan Pulau Pinang
walaupun mereka beraksi di tempat lawan,'' tambah beliau.
Kata Mat Zan, pertemuan dengan
Negeri Sembilan memerlukan komitmen sepenuhnya daripada kesemua pemain kerana
Negeri Sembilan akan memberi tentangan sengit untuk memperbaiki kedudukan
selepas tewas 1-4 kepada Pulau Pinang dan seri tanpa jaringan dengan Kedah.
Mat Zan agak lega kerana
kesemua pemainnya tidak dibelenggu kecederaan sebaik berakhir perlawanan sengit
antara Kuala Lumpur dengan Pulau Pinang.
Dalam perlawanan dengan Pulau
Pinang, penyerang S. Paidiya Rau memperoleh jaringan kemenangan untuk Kuala
Lumpur pada minit ke-55 setelah separuh masa pertama menyaksikan aksi
membosankan daripada kedua-dua pasukan.
Selain Rau, Kuala Lumpur
mempertaruhkan harapan kepada penyerang muda seperti Mior Nor Samsul Kamal dan
Azmir Nor Hakim Burhan untuk menggegarkan kubu lawan.
Sementara Pulau Pinang yang
menurunkan kesebelasan terbaik termasuk gandingan penyerang digeruni, Merzagua
Abderrazzak dan Riyard Abbad gagal menembusi kubu Kuala Lumpur.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4P5PqBipt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan