ARKIB : 19/02/1999
JURULATIH pasukan bola sepak
Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris mengakui tugasnya musim ini begitu berat untuk
memastikan pasukan warga kota itu kekal dalam Perdana Satu dan layak ke Piala
Malaysia, musim ini,lapor JOHARI SHAWAL.
Katanya, keputusan Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya membuka kuota enam pasukan sahaja dari
Perdana Satu untuk layak secara automatik ke Piala Malaysia jelas menyulitkan
laluan Kuala Lumpur.
''Keputusan FAM itu menjadikan
semua pasukan terpaksa memantapkan diri masing-masing untuk berada dalam
kelompok enam pasukan itu.
''Jika tidak, terpaksa pula
bermain dalam play-off dan ini tentu tambah menyukarkan. Kuala Lumpur sudah
melalui pengalaman perit itu dan pasti tidak mahu terbabit lagi,'' kata Mat Zan
ketika ditemui semasa sesi latihan Kuala Lumpur di Stadium Cheras, semalam.
Musim lalu, Kuala Lumpur
terpaksa bermain dalam play-off menentang Johor untuk mengesahkan tempat ke
Piala Malaysia. Kuala Lumpur menang dengan agregat 2-1 (menang 2-0 di Cheras
dan tewas 0-1 di Larkin) sebelum layak bertarung dalam Piala Malaysia.
Sementara itu, Mat Zan menaruh
keyakinan tinggi pasukannya kali ini mampu menewaskan Brunei pada perlawanan
pertama Liga Perdana pada 20 Mac ini.
''Ini kerana Kuala Lumpur turun
untuk menebus dendam tewas pada kedua-dua perlawanan musim lalu. Pemain sudah
bersedia untuk membawa misi itu,'' katanya.
Jelasnya, walaupun Kuala Lumpur
sekarang dibarisi ramai pemain baru yang masih muda dan kurang pengalaman
berikutan ''penghijrahan beramai-ramai'' pemain utama, jurulatih itu percaya
semangat pemain akan mengatasi segala-galanya.
Lima pemain utama Kuala Lumpur
musim lalu berhijrah ke negeri lain musim ini iaitu penjaga gol Azmin Azram Abdul
Aziz ke Negeri Sembilan, pemain pertahanan K. Ramachandran (Pahang), pemain
tengah Liew Kim Tu dan M. Chandran (Johor) dan S. Paidiya Rau (Selangor).
Bagaimanapun, skuad itu dibantu
tiga bekas pemain Olimpik 2000 iaitu Azmir Nur Hakim Burhan, Chia Ching Kar dan
Azlan Hussein serta seorang pemain Johor musim lalu, Azali Jusoh.
Pada pertemuan dengan Brunei
dalam Perdana Satu musim lalu, Kuala Lumpur tewas 3-2 pada perlawanan pertama
di Bandar Seri Begawan dan tewas dengan jaringan yang sama di Cheras pada
perlawanan kedua.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4PtY1P6QZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan