Ahad, 27 November 2016

Pemain gugup bawa padah

ARKIB : 25/03/1999
KELETIHAN selain gementar ketika mengambil sepakan penalti menghukum Kuala Lumpur apabila gagal melebarkan kemenangan buat kali kedua berturut-turut, sekali gus terlepas peluang untuk kekal sebagai pendahulu bola sepak Liga Perdana Satu.

Jurulatih Mat Zan Mat Aris berkata, pemain keletihan selepas kembali dari Brunei menyebabkan aksi mereka ketika menentang Sarawak di Stadium KLFA, Cheras kelmarin, tidak pada tahap terbaik.

''Mereka masih bermain baik tetapi sedikit letih selepas balik dari Brunei. Tumpuan mereka juga tidak sehebat ketika menentang Brunei dan memang aksi mereka ketika bermain dengan Sarawak berbeza,'' kata Mat Zan.

Selain itu jurulatih itu berkata, pemainnya juga tiba-tiba jadi takut untuk mengambil sepakan penalti ketika penentuan kemenangan dan mereka yang mengambil sepakan itu juga jelas gementar.

''Ketika latihan, mereka berebut-rebut untuk mengambil sepakan penalti tetapi ketika perlawanan, sebahagian mereka enggan mengambil sepakan itu sehingga (penjaga gol) Shaharuddin (Ahmad) terpaksa disenaraikan sebagai penendang,'' katanya.

Begitu pun, empat sepakan penalti berjaya disempurnakan pemain Kuala Lumpur kecuali sepakan Shaharudin ditepis keluar oleh penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid yang memberikan kemenangan 5-4 kepada skuad Bujang Senang.

''Saya tidak salahkan mereka, mungkin mereka gugup ketika berdepan dengan penyokong sendiri,'' katanya.

Kuala Lumpur terikat 1-1 sebelum sepakan penalti itu dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh pemain warga kota.

Pemain pertahanan P. Saravanan tertampan bola masuk ke jaring sendiri ketika cuba menyelamatkan hantaran silang penyerang Sarawak, Mohd. Safri Amit sebelum bekas pemain Olimpik 2000, Azmir Nur Hakim Burhan menyelamatkan skuad warga kota dengan gol penyamaan pada minit ke-44, jaringan kedua peribadinya selepas dua perlawanan liga.

''Kita sepatutnya menang dalam pertemuan ini tetapi mereka sudah melakukan apa yang terdaya... Saya gembira mendapat satu mata,'' katanya.

Kuala Lumpur mencipta banyak peluang untuk melebarkan jaringan pada babak kedua tetapi dua penyerang mudanya, Mohd. Farid Dewan dan Mohd. Nizaruddin Yusof gagal membuat penyudah.

''Sarawak langsung tidak memberi ruang kepada pemain kita untuk menembusi benteng mereka. Hantaran-hantaran lambung yang diamalkan seperti ketika menentang Brunei gagal disambar barisan depan,'' kata Mat Zan.

Pertemuan dengan Brunei, menurut jurulatih itu, lebih mudah kerana pasukan lawan bermain secara terbuka dan memberi banyak ruang buat pemainnya bergerak dan membolehkan mereka mencipta jaringan.

Kuala Lumpur menang 4-3 di Brunei pada perlawanan pertama menerusi jaringan Mohd. Farid, Azmir dan dua gol dari Mohd. Nizaruddin.

Pasukan warga kota kini di tangga kedua Perdana Satu dengan empat mata di belakang juara liga musim lalu, Pulau Pinang yang mengutip lima mata selepas dua perlawanan menewaskan Negeri Sembilan dan Brunei.

Pertemuan kedua-dua pasukan di gelanggang sendiri pada perlawanan ketiga Selasa depan bakal menyaksikan perebutan tangga teratas liga.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RDitjv3o © Utusan Melayu (M) Bhd

Shaharudin kecewakan KL



ARKIB : 24/03/1999
PEMAIN Sarawak, Jeffry Lana (kiri) cuba merampas bola yang dibawa oleh pemain Kuala Lumpur, Mohd. Imran Ahmad pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium KLFA, Cheras, semalam. Sarawak menang penalti 5-4.

KUALA LUMPUR hanya berjaya mengutip satu mata selepas tewas 4-5 kepada Sarawak menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu selepas kedudukan terikat 1-1 pada permainan sebenar di Stadium KLFA, Cheras, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.

Penjaga gol Kuala Lumpur, Shaharudin Ahmad ditugaskan mengambil sepakan terakhir, gagal sempurnakannya apabila ditepis keluar penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid.

Pada perlawanan sebenar, pasukan pelawat lebih dulu membuka jaringan menerusi gol sendiri pemain pertahanan Kuala Lumpur, P. Saravanan tetapi Azmir Nor Hakim Burhan menyamakan kedudukan pada minit ke-44.

Gol-gol penalti Kuala Lumpur dijaringkan oleh Mohd. Nizaruddin Yusof, M. Karunakaran, P. Saravanan, Mohd. Imran Ahmad manakala Bobby Chua, Ramos Sari, Abang Mohd. Za'afari, Ibrahim Mantali dan Ramles Sari menyumbat gol untuk Sarawak.

Di depan 3,000 penyokong sendiri, Kuala Lumpur bermula garang dengan asakan-asakan awal. Gandingan penyerang Mohd. Farid Dewan dan Mohd. Nizaruddin Yusof jelas berbisa tetapi Sarawak berjaya mengekang dua penyerang remaja itu dengan kawalan benteng yang mantap dikemudi Mohd. Zaidil Sakup.

Perlawanan kembali seimbang selepas 10 minit perlawanan tetapi Sarawak lebih banyak melancarkan serangan-serangan ke kubu Kuala Lumpur dan gandingan penyerang Mohd. Safri Amit dan Ramos Sari menghuru-harakan seketika pertahanan Kuala Lumpur yang diterajui Saravanan.

Namun, kesilapan stopper Kuala Lumpur, Saravanan pada minit ke-12 menyaksikan gawang warga kota robek apabila bola yang dilintangkan Mohd. Safri tertampan ke kaki Saravanan yang terus menerjah jaring.

Begitu pun, kesilapan Saravanan ditebus oleh Azmir yang berjaya mengambil peluang daripada perebutan di depan gawang Sarawak untuk menolak masuk gol penyamaan seminit sebelum waktu rehat.

Gol berpunca daripada hantaran silang dari sebelah kanan Azali Mat Jusoh yang cuba ditanduk Mohd. Farid tetapi bola jatuh ke kaki Azmir yang berjaya menewaskan Mazlan Wahid.

Sarawak kembali menyusun gerakan pada babak kedua dengan peluang terbaik untuk melebarkan jaringan hadir pada minit ke-55.

Mohd. Nazri Yunos mengambil kesempatan hasil kesilapan M. Karunakaran yang gagal menyepak kemas di dalam kotak penalti tetapi percubaan Nazri berjaya ditepis penjaga gol Kuala Lumpur, Shaharudin Ahmad.

Kuala Lumpur turut berpeluang untuk melebarkan jaringan lima minit selepas itu tetapi Azmir mensia-siakan peluang sepakan percuma di luar kotak penalti yang menyaksikan tendangannya melambung tinggi di atas palang gol.

Begitu pun, baki setengah jam perlawanan tiba-tiba hambar dengan kedua-dua pasukan tidak dapat menembusi pertahanan lawan masing-masing sehingga memaksa kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RCAYQL46 © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 15 November 2016

Cuma pelapis pilihan Mat Zan

ARKIB : 04/03/1999
KETIADAAN dua penyerang musim lalu, S. Paidiya Rau dan Meor Nor Syamsul Kamal yang berhijrah ke negeri lain musim ini agak memeningkan jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris dalam merencanakan barisan serangannya menghadapi Liga Perdana Satu, lapor JOHARI SHAWAL.

Mat Zan mengakui ketiadaan dua pemain itu menyebabkan barisan serangan skuad warga kota musim ini semakin tumpul, namun jurulatih itu masih ada pilihan.

Mat Zan kini menyandarkan harapan kepada G. Muthu selain tiga lagi penyerang baru, Mohd. Nizaruddin Yusop, Mohd. Zulkhibri Raob dan Mohd. Farid Dewan.

Bagaimanapun kecuali Muthu, kekurangan pengalaman ketiga-tiga pemain itu walaupun lincah di depan gol, belum menggembirakan jurulatih itu.

''Mereka adalah pemain baru dan masih muda... belum ada pengalaman kecuali dalam Piala Presiden. Walaupun Nizaruddin pernah bersama Kuala Lumpur musim lalu, dia jarang diturunkan sebab kita ada Paidiya dan Meor selain penyerang import.

''Saya akui barisan serangan kita sekarang kurang menyengat dan saya terpaksa mengasah mereka walaupun terpaksa mengambil masa,'' kata Mat Zan, semalam.

Musim lalu, Paidiya dan Meor merupakan antara penjaring terbanyak Kuala Lumpur yang membantu warga kota kekal dalam Perdana Satu.

Bagaimanapun, Paidiya musim ini memilih aksi bersama Selangor manakala Meor bersama Perak.

''Walaupun mereka kurang pengalaman tetapi jika terus didedahkan dengan banyak perlawanan persahabatan sebelum Liga M bermula, saya percaya Farid dan Nizaruddin mampu berdiri sama tinggi dengan penyerang pasukan lain,'' ujar Mat Zan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Q4gD0YjU © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 13 November 2016

Mat Zan akui tugas berat menantinya

ARKIB : 19/02/1999
JURULATIH pasukan bola sepak Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris mengakui tugasnya musim ini begitu berat untuk memastikan pasukan warga kota itu kekal dalam Perdana Satu dan layak ke Piala Malaysia, musim ini,lapor JOHARI SHAWAL.

Katanya, keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya membuka kuota enam pasukan sahaja dari Perdana Satu untuk layak secara automatik ke Piala Malaysia jelas menyulitkan laluan Kuala Lumpur.

''Keputusan FAM itu menjadikan semua pasukan terpaksa memantapkan diri masing-masing untuk berada dalam kelompok enam pasukan itu.

''Jika tidak, terpaksa pula bermain dalam play-off dan ini tentu tambah menyukarkan. Kuala Lumpur sudah melalui pengalaman perit itu dan pasti tidak mahu terbabit lagi,'' kata Mat Zan ketika ditemui semasa sesi latihan Kuala Lumpur di Stadium Cheras, semalam.

Musim lalu, Kuala Lumpur terpaksa bermain dalam play-off menentang Johor untuk mengesahkan tempat ke Piala Malaysia. Kuala Lumpur menang dengan agregat 2-1 (menang 2-0 di Cheras dan tewas 0-1 di Larkin) sebelum layak bertarung dalam Piala Malaysia.

Sementara itu, Mat Zan menaruh keyakinan tinggi pasukannya kali ini mampu menewaskan Brunei pada perlawanan pertama Liga Perdana pada 20 Mac ini.

''Ini kerana Kuala Lumpur turun untuk menebus dendam tewas pada kedua-dua perlawanan musim lalu. Pemain sudah bersedia untuk membawa misi itu,'' katanya.

Jelasnya, walaupun Kuala Lumpur sekarang dibarisi ramai pemain baru yang masih muda dan kurang pengalaman berikutan ''penghijrahan beramai-ramai'' pemain utama, jurulatih itu percaya semangat pemain akan mengatasi segala-galanya.

Lima pemain utama Kuala Lumpur musim lalu berhijrah ke negeri lain musim ini iaitu penjaga gol Azmin Azram Abdul Aziz ke Negeri Sembilan, pemain pertahanan K. Ramachandran (Pahang), pemain tengah Liew Kim Tu dan M. Chandran (Johor) dan S. Paidiya Rau (Selangor).

Bagaimanapun, skuad itu dibantu tiga bekas pemain Olimpik 2000 iaitu Azmir Nur Hakim Burhan, Chia Ching Kar dan Azlan Hussein serta seorang pemain Johor musim lalu, Azali Jusoh.

Pada pertemuan dengan Brunei dalam Perdana Satu musim lalu, Kuala Lumpur tewas 3-2 pada perlawanan pertama di Bandar Seri Begawan dan tewas dengan jaringan yang sama di Cheras pada perlawanan kedua.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4PtY1P6QZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad K. Lumpur perlukan pendedahan -- Mengesan segala kelemahan dalam pasukan - Mat Zan

ARKIB : 17/02/1999
KUALA Lumpur memerlukan lebih banyak perlawanan persahabatan bagi meningkatkan persembahan dan prestasi pasukan yang begitu hambar ketika ini menjelang kempen bola sepak Liga Malaysia yang bermula bulan depan.

Jurulatih Mat Zan Mat Aris berkata, walaupun Liga Malaysia akan bermula dalam tempoh yang singkat kira-kira lima bulan lagi, beberapa perlawanan persahabatan dirasakan perlu.

''Kurangnya perlawanan persahabatan menyukarkan saya untuk mencari kelemahan pasukan dan kemudian merencanakan sistem dan taktik permainan sebenar.

''Berlatih sendiri sahaja tidak dapat memberikan pendedahan kepada pemain kerana pemain kurang menumpukan kepada permainan masing-masing semasa bermain.

''Tetapi dalam perlawanan persahabatan barulah kita nampak prestasi dan keupayaan seseorang pemain itu dan segala kelemahan pasukan dapat kita kenal pasti,'' katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh itu kata jurulatih itu, Kuala Lumpur harus memperbanyakkan perlawanan persahabatan bagi tujuan itu biarpun kempen Liga Malaysia akan bermula sebulan lagi.

Kuala Lumpur, yang lewat menjalani latihan akibat sedikit masalah yang wujud dalam persatuan bola sepak negeri itu, setakat ini hanya mengharungi tiga perlawanan persahabatan, menentang Majlis Perbandaran Subang Jaya (menang 2-0) dan skuad Piala Bardhan Kuala Lumpur (seri 1-1) sebelum menentang pasukan Liga Perdana Johor di Stadium Cheras, kelmarin.

Dalam perlawanan menentang Johor, pasukan warga kota mendahului 2-1 menerusi jaringan Meor Nor Samsul Kamal dan P. Saravanan tetapi Johor yang menurunkan dua bekas pemain yang beraksi dengan Kuala Lumpur musim lalu, M. Chandran dan Liew Kim Tu selain bintang Kelantan, Hashim Mustapha, menyamakan kedudukan pada minit terakhir permainan.

''Perlawanan menentang Johor sudah cukup memberi banyak pengajaran kepada kami. Terlalu banyak kelemahan yang kita nampak.

''Daripada pertahanan hingga serangan tidak menampakkan kemantapan yang dimahukan. Mereka masih kurang tumpuan,'' kata Mat Zan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PtJUcvgv © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 4 November 2016

Kuala Lumpur ranapkan impian Kedah untuk mara


ARKIB : 18/10/1998
Kuala Lumpur ranapkan impian Kedah untuk mara
KUALA LUMPUR meranapkan impian Kedah untuk mara ke separuh akhir apabila berjaya mengalahkan skuad Hijau Kuning itu 2-1 pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi, lapor YUSRI SAHAT.

Kedah yang bermain dengan sepuluh orang selepas Roslan Abdul Rahim diarah keluar padang pada minit ke-52 gagal mengekang kemaraan Kuala Lumpur yang begitu ampuh pada jentera serangannya.

Gol-gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh G. Muthu pada minit ke 21 dan S. Paidiya Rau memastikan kemenangan pada minit ke 77 manakala gol tunggal Kedah dihasilkan oleh Zulfatah Dzulkarnain (54).

Rentak perlawanan pada awal permainan begitu hambar apabila kedua-dua pasukan lebih banyak bermain secara defensif dan hanya sekali-sekala melakukan serangan.

Tuan rumah yang kurang bermaya bermain di hadapan 2,000 penyokongnya akhirnya tersentak apabila pasukan pelawat berjaya membolosi gawang pada minit ke 21 untuk gol pertama.

Gol tersebut berpunca daripada kesilapan Kane Mamadou Mariyam yang terlepas bola dari kaki lalu disambar oleh Paidiya Rau untuk memberi ruang kepada G. Muthu merobek gawang Kenari.

Ekoran daripada itu, Kedah menggandakan asakan ke kubu lawan dengan harapan untuk menyamakan kedudukan bagi mencerahkan peluang ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, hijau kuning yang menurunkan kesemua pemain importnya masih gagal melakukan sesuatu sebaliknya Kuala Lumpur yang disuntik dengan gol semangat itu bertindak lebih agresif.

Kedah hampir sekali lagi dimalukan pada minit ke 51 apabila sepakan G. Muthu yang meluru ke arah gol berjaya ditampan oleh Roslan Abdul Rahim.

Bagaimanapun, malang menimpa Kedah kerana terpaksa bermain dengan sepuluh pemain selepas Roslan dilayangkan kad merah kerana mengkasari pemain Kuala Lumpur, Abdul Ghani Malik seminit kemudian.

Kehilangan seorang pemain tidak mengugat jentera serangan Kedah sebaliknya berjaya menyamakan kedudukan pada ke 54 menerusi penyerang, Zulfatah Dzulkarnain.

Gol diperolehi akibat daripada kelalaian pertahanan Kuala Lumpur yang menampan bola lalu disambar oleh Zulfatah untuk melakukan satu rembatan kencang menewaskan Azmin Azram Aziz.

Kuala Lumpur pula menggunakan kesempatan terhadap kekurangan Kedah untuk menambah jaringan pada minit ke 77 melalui Paidiya.

Paidiya tidak mengalami kesukaran untuk mendapatkan gol kerana tidak ada seorang pun pemain Kedah yang cuba menghalang Paidiya untuk memastikan Kuala Lumpur pulang dengan tiga mata.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4P6wMK6dN © Utusan Melayu (M) Bhd

Serangan K. Lumpur belum mantap

ARKIB : 09/10/1998
KEMENANGAN tipis 1-0 ke atas juara Perdana Satu, Pulau Pinang masih belum membayangkan keupayaan sebenar Kuala Lumpur yang perlu memperbaiki jentera serangannya bagi menghadapi Negeri Sembilan dalam perlawanan Kumpulan A, Piala Malaysia, malam esok, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Walaupun Pulau Pinang yang sebelum ini membelasah Negeri Sembilan 4-1 dan menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Darul Aman berjaya ditumpaskannya, Kuala Lumpur masih sangsi di atas kemampuan sebenar barisan serangannya.

Jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris berkata, selepas seri dengan Terengganu dan menang tipis ke atas Pulau Pinang, pasukan bimbingannya perlu memperbaiki beberapa kelemahan yang ketara.

''Antaranya, saya dapati mereka (penyerang) tidak mempunyai penyudah yang benar-benar berkesan sekalipun memperoleh kesempatan cukup baik di depan pintu gol lawan.

''Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan pencapaian pemain terutamanya barisan tengah, pertahanan dan penjaga gol, Amin Azram Abdul Aziz yang bijak menyekat kemaraan Pulau Pinang walaupun mereka beraksi di tempat lawan,'' tambah beliau.

Kata Mat Zan, pertemuan dengan Negeri Sembilan memerlukan komitmen sepenuhnya daripada kesemua pemain kerana Negeri Sembilan akan memberi tentangan sengit untuk memperbaiki kedudukan selepas tewas 1-4 kepada Pulau Pinang dan seri tanpa jaringan dengan Kedah.

Mat Zan agak lega kerana kesemua pemainnya tidak dibelenggu kecederaan sebaik berakhir perlawanan sengit antara Kuala Lumpur dengan Pulau Pinang.

Dalam perlawanan dengan Pulau Pinang, penyerang S. Paidiya Rau memperoleh jaringan kemenangan untuk Kuala Lumpur pada minit ke-55 setelah separuh masa pertama menyaksikan aksi membosankan daripada kedua-dua pasukan.

Selain Rau, Kuala Lumpur mempertaruhkan harapan kepada penyerang muda seperti Mior Nor Samsul Kamal dan Azmir Nor Hakim Burhan untuk menggegarkan kubu lawan.

Sementara Pulau Pinang yang menurunkan kesebelasan terbaik termasuk gandingan penyerang digeruni, Merzagua Abderrazzak dan Riyard Abbad gagal menembusi kubu Kuala Lumpur.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4P5PqBipt © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 1 November 2016

Kuala Lumpur, Terengganu seri

ARKIB : 04/10/1998
Kelebihan Kuala Lumpur selaku tuan rumah diperkuatkan dua bekas pemain Olimpik 2000, Azmir Nor Hakim dan Chia Ching Kar gagal disempurnakan untuk menjinakkan juara Perdana Dua, Terengganu.

Bagaimanapun Terengganu yang masih segar dengan kemenangan 3-0 ke atas Kedah di gelanggang sendiri sekadar mencipta dua peluang terbaik menerusi Seidu Issifu tetapi segalanya tidak menjadi.

Babak awal bermula membosankan dengan permainan terlalu berhati-hati dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.

Pada babak kedua, Kuala Lumpur kembali bertenaga namun segala usaha untuk mencari gol tetapi jentera serangan S. Paidiya Rau dan G. Muthu gagal menembusi benteng lawan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4OkjHN4Xy © Utusan Melayu (M) Bhd

K. Lumpur tagihkan sentuhan Meor

KUALA LUMPUR menagih lagi sentuhan penjaring terbanyaknya dalam Liga Perdana, Meor Nor Samsul Kamal untuk mencatat kedudukan selesa dalam Kumpulan A bola sepak Piala Malaysia apabila turun menentang Terengganu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini, lapor JOHARI SHAWAL.

Meskipun skuad warga kota itu diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain Olimpik 2000, Azmir Nur Hakim Burhan, Chia Ching Kar dan Azlan Hussein, sentuhan Meor di depan gol tetap ditagih.

Malah, tenaga Meor begitu diharapkan untuk berganding dengan seorang lagi penyerang berbahaya Kuala Lumpur, S. Paidiyah Rau.

''Memang Meor diharapkan dapat memberikan mata penuh pertama untuk Kuala Lumpur apabila menentang Terengganu, malam ini.

''Tetapi dia tentulah memerlukan bantuan rakan-rakan di barisan tengah mahu pun pertahanan untuk merealisasikan impian itu,'' kata jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris.

Menurut Mat Zan, pengalaman pemain itu ketika mewakili negara dalam Kejohanan Piala Tiger di Vietnam, Ogos lalu diharap dapat digunakan sepenuhnya pada kempen Piala Malaysia ini.

Meor, 22, menjaringkan keseluruhan 7 gol dalam Liga Perdana lalu, manakala Paidiya lima gol.

Walaupun Meor gagal membantu skuad negara di Vietnam, pengalamannya itu dianggap senjata utama pasukan Kuala Lumpur.

Aksi Meor pada awal Liga Perdana lalu kurang menyerlah tetapi sentuhannya semakin berbisa pada penghujung kempen apabila kerap menemui sasaran di depan gol untuk membantu pasukannya beraksi dalam Piala Malaysia.

''Sentuhannya memang dilihat semakin menjadi sebelum kempen Liga Perdana tamat. Biarpun selepas itu dia gagal membantu negara di Vietnam, saya yakin dia mampu membantu Kuala Lumpur dalam Piala Malaysia,'' ujar jurulatih itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4OkOdRflh © Utusan Melayu (M) Bhd