ARKIB : 31/05/2003
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
MENTERI Pendidikan, Tan Sri Musa
Mohamad mahukan laporan penuh mengenai insiden pergaduhan dalam perlawanan
akhir Kejohanan Bola sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) di
Padang Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Ipoh petang kelmarin.
Pengerusi Pengadil Bola Sepak
Majlis Sukan Sekolah-sekolah Perak( MSSPk ), Amir Sharifuddin Wong Abdullah
berkata, beliau diarahkan oleh pihak atasan untuk menyediakan laporan penuh
untuk diserahkan kepada Menteri Pendidikan.
Selain itu katanya, laporan
insiden tersebut dan hukuman yang dikenakan ke atas mana-mana pemain akan
dihantar kepada MSSM dan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) bagi tindakan
selanjutnya.
``Mana-mana pemain yang dikenakan
hukuman tidak boleh beraksi dalam perlawanan yang dianjurkan oleh MSSM atau FAM
serta ahli gabungannya,'' kata Amir ketika dihubungi di Ipoh, semalam.
Dalam perlawanan akhir yang penuh
aksi-aksi kasar itu pengadil dari Perak, Ajam Suhut terpaksa melayangkan enam
kad merah kepada lima pemain Terengganu dan seorang pemain Kuala Lumpur.
Lima pemain Terengganu termasuk
seorang pemain simpanan yang dilayangkan kad merah adalah Sham Sharil Gulam, Md
Hilman Yahaya, Md Faizal Mansor, Md Hafifi Hashim dan Ahmad Nawawi Mamat.
Sham Sharil diperintah keluar
padang oleh pengadil dari Perak pada minit ke-51 kerana mengkasari pemain Kuala
Lumpur, M. Thilagavanan.
Sementara Md. Hilman, Md Faizal
dan Md Hafifi juga diarah keluar padang apabila dilayangkan kad kuning kedua
oleh Ajam Suhut setelah mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti memegang
bola dan bermain secara kasar.
Selain itu, pemain simpanan
Terengganu, Ahmad Nawawi yang berada di tepi padang turut dilayangkan kad merah
apabila didakwa menyerang pemain Kuala Lumpur yang sedang beraksi.
Seorang pemain Kuala Lumpur, Mior
Mohd Hadzlan dilayangkan kad merah kerana bermain kasar dalam masa tambahan.
Para pegawai Jabatan Pendidikan Perak termasuk Pengarah Pendidikan Perak, Datuk
Adnan Ibrahim telah bekerja keras mententeramkan keadaan setelah para pemain
dan pegawai Terengganu menyerang pemain-pemain Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur muncul juara bawah
18 tahun melalui jaringan emas dalam perlawanan yang penuh kekasaran bagi
mengatasi Terengganu 2-1.
Amir berkata, tindakan pengadil
dari Perak melayangkan enam kad merah itu adalah wajar bagi mengawal perlawanan
tersebut supaya tidak bertambah ganas dan kasar.
``Jika Ajam tidak bertindak
demikian sudah tentu ada pemain yang akan mengalami kecederaan serius dan boleh
mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pasukan,'' kata Amir lagi.
Perlawanan akhir itu sepatutnya
dilangsungkan di Stadium Perak tetapi dipindahkan ke padang STAR kerana stadium
ditutup bagi sebarang kegiatan menjelang perlawanan akhir Piala FA antara
Perlis dengan Negeri Sembilan, hari ini (Sabtu).
Amir menyatakan insiden itu
berlaku kerana kegagalan para pemain dan pegawai pasukan yang bertanding
mengawal emosi masing-masing dan bertindak tidak mengikut peraturan.
Pengarah Pendidikan Perak dalam
ucapan penutupnya juga meminta para pemain supaya mengawal emosi dan tidak
terikut-ikut dengan perasaan marah atau tidak berpuas hati itu
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cxZ1DZj7
© Utusan Melayu (M) Bhd