Khamis, 14 Disember 2017

KL mahu baiki kedudukan


 

ARKIB : 30/12/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR - Tidak mahu pisang berbuah dua kali, pasukan Kuala Lumpur bertekad untuk memperbaiki kedudukan mereka di tangga ke-12 Liga Perdana musim lalu ke kedudukan lebih baik musim 2009.

Menurut jurulatihnya, Razip Ismail, tugas tersebut memang berat untuk dilaksanakan tetapi mereka akan cuba sedaya upaya bagi menaikkan semula maruah skuad ibukota itu.

''Kami mensasarkan untuk memperbaiki kedudukan musim lalu dalam kempen 2009 ini dan saya akui sendiri tugas ini memang agak berat,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia kelmarin.

Jelas Razip, bagi memastikan impian tersebut menjadi kenyataan pelbagai usaha telah dilakukan untuk memantapkan pasukan Kuala Lumpur termasuk memberi pendedahan kepada pemain muda.

''Seperti perlawanan hari ini (kelmarin) menentang pasukan Harimau Muda, saya banyak menurunkan pemain junior dari Piala Presiden dan SUKMA untuk melihat sejauh mana prestasi mereka bagi diserapkan ke dalam pasukan senior.

''Sebelum ini saya menurunkan pemain senior dalam perlawanan persahabatan yang lain tetapi memberi ruang untuk mereka berehat sambil melihat keupayaan pemain muda,'' kata bekas pemain Kuala Lumpur itu.

Kata Razip, pasukan Kuala Lumpur perlu diperbaiki lagi terutama di bahagian serangan yang dilihat sedikit tumpul berbanding bahagian lain.

''Dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini bahagian serangan begitu tumpul untuk menjaringkan gol.

''Kami seri tanpa jaringan ketika bertemu PKNS dan UPB-MyTeam dan tewas 1-0 kepada Selangor,'' katanya.

Ditanya mengenai penyerang yang mampu untuk diharapkan memberi jaringan kepad pasukan, Razip berkata, tugasan tersebut bakal digalas bekas penyerang PKNS, Abdul Hadi Yahya.

''Saya rasa Hadi mampu untuk bertindak selaku penyerang utama kami dan cuba untuk merobek gawang pasukan lawan musim depan,'' katanya.

Sebelum ini skuad ibukota pernah melahirkan pemain penyerang yang berkaliber seperti Azman Adnan, T. Gopinath Naidu, Shahrin Majid, Liew Kim Tu, Farid Dewan dan Safee Sali.

Dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Harimau Muda bimbingan K.Rajagopal, skuad ibukota terikat 1-1 di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51FQIn8X9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 6 Disember 2017

KL intai pemain berpengalaman

ARKIB : 06/10/2008
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak Kuala Lumpur meninjau khidmat tiga pemain berpengalaman di posisi penyerang, tengah serta pertahanan untuk mengimbangkan tempo pasukan tersebut bagi menghadapi musim baru 2009 yang bermula Januari depan.

Jurulatih Kuala Lumpur, Mohd. Razip Ismail berkata, berdasarkan pengalaman musim lepas, pemainnya didapati memerlukan kepimpinan pemain lebih berpengalaman untuk mengemudi jentera serangan, tengah dan pertahanan.

"Lagi pun saingan musim depan lebih terbuka kerana tiada pemain import. Jadi saya rasa inilah masa yang sesuai untuk menonjolkan pemain tempatan baru," katanya, di sini, semalam.

Mengenai persiapan pasukan itu sebelum musim baru, Mohd. Razip berkata, skuad itu akan mula berlatih selepas Hari Raya Aidilfitri dan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan.

Antaranya kejohanan piala persahabatan empat penjuru anjuran Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (MASUM) yang turut disertai oleh pasukan MASUM, KL PLUS dan Felda FC.

Beliau berkata, pemilihan pemain akan dilakukan pada November ini dengan menyerapkan beberapa pemain berpotensi daripada skuad Piala Presiden ke dalam skuad utama.

Pada saingan musim lepas, Kuala Lumpur hampir tersingkir ke Liga FAM apabila menduduki tangga kedua terbawah Liga Perdana.

- Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz50X2hR82R

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 20 September 2017

Kuala Lumpur, Terengganu hampiri Liga Super



 PEMAIN PKNP, Gilberto Valdenesio (kiri) cuba dihalang oleh pemain
PEMAIN PKNP, Gilberto Valdenesio (kiri) cuba dihalang oleh pemain
PEMAIN PKNP, Gilberto Valdenesio (kiri) cuba dihalang oleh pemain Negeri Sembilan, Nemanja Vidic dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Perak, Ipoh malam ini. - UTUSAN/KAMAL BASIR WAHAB

19 September 2017 11:18 PM
AddThis Sharing Buttons
Share to FacebookShare to TwitterShare to WhatsAppShare to TelegramShare to EmailShare to More

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Peluang Kuala Lumpur dan Terengganu untuk menyertai Liga Super musim hadapan semakin cerah selepas masing-masing meraih tiga mata penting dalam saingan Liga Perdana sebentar tadi.

Kuala Lumpur terus mengukuhkan kedudukan selaku peneraju Liga Perdana dengan 44 mata selepas menundukkan UiTM 2-1 dalam aksi di Stadium UiTM.

Terengganu, yang berada di kedudukan kedua liga dengan jumlah mata sama dan hanya dibezakan menerusi jumlah jaringan, turut meraih kemenangan 2-1 ke atas MISC-MIFA di Stadium Proton.

Mengekori rapat di kedudukan ketiga dengan 40 mata ialah PKNP yang turut meraih tiga mata penting selepas menewaskan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Perak.

Sementara itu, aksi di Stadium Likas menyaksikan Sabah berpesta gol menundukkan Perlis 5-1 dengan Lee Kil-hoon meledak hatrik dalam perlawanan itu manakala dua gol lagi disumbangkan Rodoljub Paunovic dan jaringan saguhati pasukan pelawat diraih menerusi Ndumba Mekeche.

PDRM turut mencatat kemenangan dalam aksi di Stadium Hang Jebat selepas menewaskan Kuantan FA 5-3 dengan Dao Bakary meletakkan nama selaku penjaring hatrik dalam perlawanan itu.

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Darul Ta’zim II sekadar meraih satu mata selepas terikat 1-1 dengan ATM. – UTUSAN ONLINE

sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kuala-lumpur-terengganu-hampiri-liga-super-1.528540#ixzz4tDheir9u
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 15 Julai 2017

Kuala Lumpur ambil alih takhta Liga Perdana

PEMAIN Kuantan, Ljubo Baranin (tengah) cuba melepasi pemain pertahanan
PEMAIN Kuantan, Ljubo Baranin (tengah) cuba melepasi pemain pertahanan Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini. Kuala Lumpur menang 6-3.
14 Julai 2017 11:35 PM
1
KUALA LUMPUR 14 Julai – Kuala Lumpur mengukuhkan kedudukan di tempat teratas Liga Perdana apabila berpesta gol di Kuantan manakala pencabar terdekatnya sebelum ini Negeri Sembilan sekadar seri malam ini.

Kuala Lumpur yang dikendalikan Fabio Magrao menewaskan Kuantan FA 6-3 di Stadium Darul Makmur dengan bekas pemain Selangor, Guilherme de Paula meledak hatrik apabila menjaringkan gol pada minit ke-69, minit ke-78 dan minit ke-84. Dua lagi gol dijaringkan Paulo Josue pada minit ke-53 dan minit ke-80 dan Muhamad Hafiz menyumbat gol pada minit ke-17.


Negeri Sembilan, yang sebelum ini sekadar tercicir jumlah gol untuk menghuni tempat kedua liga, turun ke anak tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan MISC-MIFA di Stadium Proton, Tanjung Malim.

Dalam pada itu, Terengganu naik ke anak tangga kedua liga selepas pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu membelasah Perlis 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kesemua jaringan tersebut dihasilkan menerusi percubaan Gabiel Davis pada minit ke-27, Tchetche Hermann minit ke-43, Lazaro minit ke-48 dan Mohd. Ridzuan pada minit ke-80.

Dalam pada itu, PKNP FC gagal meraih kemenangan di laman sendiri selepas tumpas kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Perak walaupun skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan.

Tuan rumah berada di depan menerusi jaringan Ahmad Sukri Ab. Hamid pada minit ke-44 tetapi gagal mempertahankan kelebihan selepas rehat apabila Samuel Catalino menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-63 sebelum Barrales meledak gol kemenangan pada minit ke-78.

Dua lagi aksi Liga Perdana menyaksikan PDRM terikat 1-1 menentang ATM di Stadium Hang Jebat, Melaka manakala UITM FC tumpas 1-0 kepada Sabah di Stadium UiTM Shah Alam. – UTUSAN ONLINE
sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kuala-lumpur-ambil-alih-takhta-liga-perdana-1.503032#ixzz4msnLQXdx

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 31 Mac 2017

Insiden pergaduhan bola sepak MSSM di Ipoh - Menteri minta laporan penuh



ARKIB : 31/05/2003
 
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL

MENTERI Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad mahukan laporan penuh mengenai insiden pergaduhan dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) di Padang Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Ipoh petang kelmarin.

Pengerusi Pengadil Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Perak( MSSPk ), Amir Sharifuddin Wong Abdullah berkata, beliau diarahkan oleh pihak atasan untuk menyediakan laporan penuh untuk diserahkan kepada Menteri Pendidikan.

Selain itu katanya, laporan insiden tersebut dan hukuman yang dikenakan ke atas mana-mana pemain akan dihantar kepada MSSM dan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) bagi tindakan selanjutnya.

``Mana-mana pemain yang dikenakan hukuman tidak boleh beraksi dalam perlawanan yang dianjurkan oleh MSSM atau FAM serta ahli gabungannya,'' kata Amir ketika dihubungi di Ipoh, semalam.

Dalam perlawanan akhir yang penuh aksi-aksi kasar itu pengadil dari Perak, Ajam Suhut terpaksa melayangkan enam kad merah kepada lima pemain Terengganu dan seorang pemain Kuala Lumpur.

Lima pemain Terengganu termasuk seorang pemain simpanan yang dilayangkan kad merah adalah Sham Sharil Gulam, Md Hilman Yahaya, Md Faizal Mansor, Md Hafifi Hashim dan Ahmad Nawawi Mamat.

Sham Sharil diperintah keluar padang oleh pengadil dari Perak pada minit ke-51 kerana mengkasari pemain Kuala Lumpur, M. Thilagavanan.

Sementara Md. Hilman, Md Faizal dan Md Hafifi juga diarah keluar padang apabila dilayangkan kad kuning kedua oleh Ajam Suhut setelah mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti memegang bola dan bermain secara kasar.

Selain itu, pemain simpanan Terengganu, Ahmad Nawawi yang berada di tepi padang turut dilayangkan kad merah apabila didakwa menyerang pemain Kuala Lumpur yang sedang beraksi.

Seorang pemain Kuala Lumpur, Mior Mohd Hadzlan dilayangkan kad merah kerana bermain kasar dalam masa tambahan. Para pegawai Jabatan Pendidikan Perak termasuk Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Adnan Ibrahim telah bekerja keras mententeramkan keadaan setelah para pemain dan pegawai Terengganu menyerang pemain-pemain Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur muncul juara bawah 18 tahun melalui jaringan emas dalam perlawanan yang penuh kekasaran bagi mengatasi Terengganu 2-1.

Amir berkata, tindakan pengadil dari Perak melayangkan enam kad merah itu adalah wajar bagi mengawal perlawanan tersebut supaya tidak bertambah ganas dan kasar.

``Jika Ajam tidak bertindak demikian sudah tentu ada pemain yang akan mengalami kecederaan serius dan boleh mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pasukan,'' kata Amir lagi.

Perlawanan akhir itu sepatutnya dilangsungkan di Stadium Perak tetapi dipindahkan ke padang STAR kerana stadium ditutup bagi sebarang kegiatan menjelang perlawanan akhir Piala FA antara Perlis dengan Negeri Sembilan, hari ini (Sabtu).

Amir menyatakan insiden itu berlaku kerana kegagalan para pemain dan pegawai pasukan yang bertanding mengawal emosi masing-masing dan bertindak tidak mengikut peraturan.

Pengarah Pendidikan Perak dalam ucapan penutupnya juga meminta para pemain supaya mengawal emosi dan tidak terikut-ikut dengan perasaan marah atau tidak berpuas hati itu

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cxZ1DZj7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 17 Mac 2017

Aksi hambar di Kuala Lumpur



ARKIB : 04/04/2001
PULAU Pinang mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan bola sepak Liga Perdana Satu setelah menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.

Dengan kemenangan itu, Pulau Pinang yang seri 1-1 menentang Selangor pada perlawanan pertama sebelum ini, mengutip empat mata manakala kekalahan semalam merupakan yang kedua buat Kuala Lumpur setelah tumpas 0-1 kepada Perlis Sabtu lepas.

Hujan lebat sebelum permainan bermula menyaksikan aksi hambar kedua-dua pasukan dengan hanya beberapa gerakan menarik pada babak pertama permainan.

Pada minit ke-21, Pulau Pinang berjaya menghasilkan gol menerusi tandukan Moey Kok Hong hasil sepakan sudut Ng Kok Heng.

Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah, Perak yang berdepan masalah kecederaan beberapa pemain utama kembali menebus maruah atas kekalahan memalukan pada Piala Sumbangsih dengan menjadikan Melaka mangsa kebangkitan mereka menerusi kemenangan 3-1.

Tanpa pemain seperti Azrul Amri Burhan, V. Saravanan dan Khalid Jamlus yang masih digantung, Perak hanya dapat mengharapkan kepada Norizam Ali Hassan untuk memperoleh gol menerusi penalti pada minit ke-13, P. Gunasekaran pada minit ke-58 dan Liew Kit Kong pada minit ke-73.

Gol tunggal Melaka dijaringkan Mohd. Faizal Esahar pada minit ke-61.

Begitu pun, Melaka yang turun untuk menebus kekalahan mereka dalam Piala FA kepada Perak, tampak goyah di awal permainan yang menyaksikan tuan rumah lebih banyak mengasak.

Padang basah serta satu daripada empat lampu limpah stadium yang tidak berfungsi bagai membataskan pergerakan pemain kedua-dua pasukan sehinggalah Perak lebih dulu memecah kebuntuan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bZpfancD
© Utusan Melayu (M) Bhd