ARKIB : 06/10/2008
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak
Kuala Lumpur meninjau khidmat tiga pemain berpengalaman di posisi penyerang,
tengah serta pertahanan untuk mengimbangkan tempo pasukan tersebut bagi
menghadapi musim baru 2009 yang bermula Januari depan.
Jurulatih Kuala Lumpur, Mohd.
Razip Ismail berkata, berdasarkan pengalaman musim lepas, pemainnya didapati
memerlukan kepimpinan pemain lebih berpengalaman untuk mengemudi jentera
serangan, tengah dan pertahanan.
"Lagi pun saingan musim
depan lebih terbuka kerana tiada pemain import. Jadi saya rasa inilah masa yang
sesuai untuk menonjolkan pemain tempatan baru," katanya, di sini, semalam.
Mengenai persiapan pasukan itu
sebelum musim baru, Mohd. Razip berkata, skuad itu akan mula berlatih selepas
Hari Raya Aidilfitri dan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan.
Antaranya kejohanan piala
persahabatan empat penjuru anjuran Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia
(MASUM) yang turut disertai oleh pasukan MASUM, KL PLUS dan Felda FC.
Beliau berkata, pemilihan
pemain akan dilakukan pada November ini dengan menyerapkan beberapa pemain
berpotensi daripada skuad Piala Presiden ke dalam skuad utama.
Pada saingan musim lepas, Kuala
Lumpur hampir tersingkir ke Liga FAM apabila menduduki tangga kedua terbawah
Liga Perdana.
- Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz50X2hR82R
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan