ARKIB : 30/12/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR - Tidak mahu
pisang berbuah dua kali, pasukan Kuala Lumpur bertekad untuk memperbaiki
kedudukan mereka di tangga ke-12 Liga Perdana musim lalu ke kedudukan lebih
baik musim 2009.
Menurut jurulatihnya, Razip
Ismail, tugas tersebut memang berat untuk dilaksanakan tetapi mereka akan cuba
sedaya upaya bagi menaikkan semula maruah skuad ibukota itu.
''Kami mensasarkan untuk
memperbaiki kedudukan musim lalu dalam kempen 2009 ini dan saya akui sendiri
tugas ini memang agak berat,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia kelmarin.
Jelas Razip, bagi memastikan
impian tersebut menjadi kenyataan pelbagai usaha telah dilakukan untuk
memantapkan pasukan Kuala Lumpur termasuk memberi pendedahan kepada pemain
muda.
''Seperti perlawanan hari ini
(kelmarin) menentang pasukan Harimau Muda, saya banyak menurunkan pemain junior
dari Piala Presiden dan SUKMA untuk melihat sejauh mana prestasi mereka bagi
diserapkan ke dalam pasukan senior.
''Sebelum ini saya menurunkan
pemain senior dalam perlawanan persahabatan yang lain tetapi memberi ruang
untuk mereka berehat sambil melihat keupayaan pemain muda,'' kata bekas pemain
Kuala Lumpur itu.
Kata Razip, pasukan Kuala
Lumpur perlu diperbaiki lagi terutama di bahagian serangan yang dilihat sedikit
tumpul berbanding bahagian lain.
''Dalam beberapa perlawanan
persahabatan sebelum ini bahagian serangan begitu tumpul untuk menjaringkan
gol.
''Kami seri tanpa jaringan
ketika bertemu PKNS dan UPB-MyTeam dan tewas 1-0 kepada Selangor,'' katanya.
Ditanya mengenai penyerang yang
mampu untuk diharapkan memberi jaringan kepad pasukan, Razip berkata, tugasan
tersebut bakal digalas bekas penyerang PKNS, Abdul Hadi Yahya.
''Saya rasa Hadi mampu untuk
bertindak selaku penyerang utama kami dan cuba untuk merobek gawang pasukan
lawan musim depan,'' katanya.
Sebelum ini skuad ibukota
pernah melahirkan pemain penyerang yang berkaliber seperti Azman Adnan, T.
Gopinath Naidu, Shahrin Majid, Liew Kim Tu, Farid Dewan dan Safee Sali.
Dalam perlawanan persahabatan
menentang pasukan Harimau Muda bimbingan K.Rajagopal, skuad ibukota terikat 1-1
di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51FQIn8X9
© Utusan Melayu (M) Bhd