Isnin, 12 September 2016

Kuala Lumpur turut mara

ARKIB : 08/07/1998
Kuala Lumpur turut mara
KUALA LUMPUR mara ke separuh akhir bola sepak Piala F.A selepas menewaskan penyandang juara, Selangor 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi, lapor AMRAN MULUP.

Kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 4-4 selepas Selangor mencatat kemenangan 4-2 tamat masa penuh 90 minit. Pada perlawanan pertama Kuala Lumpur menang 2-0.

Biarpun perlawanan berlangsung hingga ke masa tambahan sudden-death namun tiada sebarang gol dihasilkan memaksa penentuan sepakan penalti menjadi penentu.

Tendangan penalti Azman Adnan dan Shahril Arsat berjaya diselamatkan oleh Azmin Azram manakala sepakan Nazim Din pula diselamatkan oleh Azlihsam Ibrahim.

Gol Selangor pada permainan sepenuh masa dijaringkan oleh Rusdi Suparman (37), Fidadi Mohamed (48 dan 54) dan Azman Adnan minit ke-83.

Kuala Lumpur pula memperolehi jaringan menerusi G. Muthu (62) dan Nazim Din minit ke-69.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4K2keeoQd © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 10 September 2016

KL kekal tercorot

ARKIB : 26/05/1998
 
REBUT ... Pemain Kuala Lumpur, S. Paidiyah Rau melompat tinggi melepasi terkaman penjaga gol Olimpik 2000, Jamsari Sabian pada perlawanan Perdana Satu di Stadium Merdeka. Kuala Lumpur menang 2-1. - Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.

IGAUAN buruk Kuala Lumpur dalam sembilan perlawanan tanpa sebarang kemenangan menemui titik noktahnya apabila jaringan kemenangan S. Paidiyah Rau menewaskan skuad Olimpik 2000 2-1 dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Merdeka malam tadi.

Ini adalah kemenangan pertama yang diperolehi oleh skuad warga kota selepas terhimpit tanpa sebarang kemenangan hingga memaksa jurulatihnya Chow Kwai Lam dipecat selaku jurulatih digantikan oleh Mat Zan Mat Aris.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada satu ketika dengan Olimpik mendahului menerusi jaringan Mohd Khalid Jamlus (m- 48) tetapi P. Saravanan menyamakan kedudukan seminit selepas itu.

Gol kemenangan Kuala Lumpur dihasilkan oleh Paidiyah Rau 12 minit perlawanan hendak ditamatkan.

Olimpik hanya mencemaskan benteng pertahanan Kuala Lumpur pada minit ke-22 namun hampa melihat tandukan kencang Mohd Khalid Jamlus melewati palang gol hasil sepakan sudut.

Seminit selepas itu giliran skuad wargakota pula terlepas peluang membuka tirai jaringan apabila sepakan percuma Adilson Rocque dari jarak 30 meter berjaya ditepis keluar oleh Jamsari Sabian.

Pada minit ke-25 Khalid sekali lagi kecewa melihat sepakannya ketika penjaga gol skuad warga kota Azmin Azram sudah tertewas sekadar melintasi di depan pintu gol.

Gol yang dicari menjadi milik Olimpik dijaringkan oleh Mohd Khalid Jamlus tiga minit selepas babak kedua bermula.

Khalid melepasi perangkap offsaid hasil hantaran jauh Yuzaiman Zahari sebelum dia melepaskan rembatan menewaskan Azmin yang cuba keluar menyelamatkan keadaan.

Kelebihan milik tuan rumah tidak mampu bertahan lama apabila Kuala Lumpur memperolehi gol penyamaan seminit selepas itu hasil sepakan percuma P. Saravanan dari luar kotak penalti.

Pada minit ke-78, S. Paidiyah Rau menjaringkan gol kedua Kuala Lumpur selepas mendapat hantaran jauh Rocque untuk merembat masuk menewaskan Jamsari.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JqNNnhgw © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 5 September 2016

KL semakin tertekan

ARKIB : 10/05/1998
KL semakin tertekan
PULAU PINANG meneruskan kecemerlangannya apabila menewaskan Kuala Lumpur, 2-1 dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Jelas sekali, kemenangan lalu yang menyaksikan Pulau Pinang mengatasi Brunei, 3-1 menjadi penyemarak pasukan ini untuk memburu kemenangan di gelanggang sendiri, walaupun mempamerkan persembahan hambar pada awal permainan.

Di hadapan 10,000 penonton Pulau Pinang memperoleh dua jaringan menerusi Balla Modou Conde pada minit ke-60 dan Domi Che Non pada minit ke-77, manakala jaringan Kuala Lumpur pula menerusi Abu Bakar Balarabe pada minit ke-47.

Permulaan babak pertama langsung tidak menyajikan aksi berbahaya daripada kedua-dua pasukan yang terlalu berhati-hati menyusun gerakan.

Begitu juga babak kedua yang menyaksikan KL terlebih dahulu mengasak PP, namun rembatan K. Nanthakumar ditepis penjaga gol Ahmad Sobri Ismail pada minit ke-46.

Ternyata petanda kemaraan Kuala Lumpur sukar dibendung lagi apabila pemain import Abu Bakar melakuakan sepakan leret dari jarak 25 meter yang terus masuk ke penjuru gawang Pulau Pinang seminit kemudian.

Akhirnya, Pulau Pinang kembali ceria tolakan Merzagua terus dirembat Balla Conde menyaksikan penjaga gol Azmin Azram Aziz tertewas pada minit ke-60.

Walaupun PP kehilangan Moey Kok Hong yang diperintah buang padang oleh pengadil, Nik Ahmad Yaakob selepas mengutip dua kad kuning, PP tetap mempamerkan gerakan lebih konsisten.

Merzagua sekali lagi membuka ruang kepada PP apabila hantarannya disepak masuk pemain gantian, Domi pada minit ke-77 untuk PP mendahului 2-1.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4JNZkLQYh © Utusan Melayu (M) Bhd