ARKIB : 08/02/1998
KEGELISAHAN pemain lincah Liew
Kim Tu mencari pasukan sebelum mengikat kontrak bermain dalam liga Jerman Mei
ini, berakhir apabila Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) sanggup
menawarkan kontrak menghadapi kempen Perdana Satu bermula April ini AMRAN MULUP
melaporkan.
Perkara itu diumumkan oleh
Presidennya Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob sewaktu Majlis Rumah Terbuka
menyambut Hari Raya Aidilfitri di pejabat KLFA semalam.
Menurut Megat, KLFA bersedia
menawarkan kontrak kepada Kim Tu biarpun untuk satu tempoh yang singkat.
''Saya faham dengan dilema yang
dihadapi oleh Kim Tu. Memandangkan dia hanya akan beraksi dalam Liga Jerman Mei
ini tiada masalah buat KLFA menawarkan dia tempat untuk satu tempoh yang
terlalu singkat,'' ujar Megat dalam sidang akhbar selepas itu.
Menurutnya, kontrak Kim Tu
secara automatik akan tamat dengan Kuala Lumpur jika kelab divisyen empat
Jerman itu menawarkan kontrak secara rasmi kepada pemain itu.
Kim Tu penyerang utama skuad
Kuala Lumpur musim lalu mendapat tawaran bermain dalam divisyen empat di Jerman
mewakili kelab Schuttorf 09 FC selepas menghadiri sesi ujian di kelab itu pada
21 Januari lalu.
Bagaimanapun, kelab Jerman itu
dijangka mengambil bekas pemain Johor dan Perak pada Mei ini.
Dia sebelum ini melahirkan rasa
gelisah tiada pasukan yang bersedia menawarkan tempat sebelum dia beraksi di
Jerman Mei ini.
Megat menjelaskan, keputusan
mengambil semula Kim Tu untuk satu tempoh yang singkat diambil kerana
menghormati cita-cita besar pemain itu mahu menimba pengalaman beraksi di Eropah.
''Dia bermain baik dengan Kuala
Lumpur musim lalu. Dengan peluang yang menyusul kita tidak mahu memyekat dia
mendapat pendedahan di luar negara.
''Kalau dia tidak ada nanti,
kita akan tetap mencari pengganti yang sesuai dan buat masa ini dia akan mewakili
Kuala Lumpur,'' katanya.
Sementara itu, menurut Megat
lagi KLFA akan memohon bantuan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
bagi membiayai perbelanjaan skuad itu menghadapi kempen dalam Perdana Satu
April ini.
Menurut Megat, musim lalu DBKL
menghulurkan bantuan sebanyak RM150,000.
''Kalau boleh untuk kempen
musim ini saya harapkan DBKL sedia menyumbang lebih dari apa yang diberikan
musim lalu,'' jelasnya.
Sehubungan dengan itu juga
beliau turut mengumumkan dua syarikat swasta musim lalu iaitu Malaysian
Elektrical Company (MEC) dan Cosway akan terus menghulurkan bantuan kepada
persiapan KLFA menghadapi kancah saingan 1998.
Pembiayaan ini tidak termasuk
geran yang akan diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan
diumumkan pada majlis mesyuarat badan induk itu hari ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FVMdseLu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan