Selasa, 26 Julai 2016

Paidiyah letak sasaran 15 gol

ARKIB : 16/02/1998
Paidiyah letak sasaran 15 gol
PENYERANG Kuala Lumpur, S. Paidiyah Rau mempunyai misi peribadi dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 15 gol musim ini untuk membantu pasukannya dalam bola sepak Premier Satu.

Paidiyah yang dibawa masuk dalam pasukan itu oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub pada pertengahan musim lalu, menjaringkan lapan gol, enam dalam Liga Perdana dan dua dalam Piala Malaysia.

Pemain berusia 24 tahun berasal dari Perak itu sebelum ini hanya bermain dalam kelab di negerinya.

''Saya mahu jaringkan sekurang-kurangnya 15 gol musim ini. Saya yakin akan dapat penuhi sasaran peribadi saya itu berdasarkan kecergasan saya yang semakin meningkat.

''Saya harap semua rakan pasukan di barisan tengah dan bawah membantu saya untuk kemenangan pasukan,'' katanya.

Begitupun, Paidiyah turut mengharapkan bantuan daripada rakan penyerangnya yang kini masih belum ditentukan.

''Saya harap penyerang yang akan bergandingan dengan saya nanti akan dapat menyesuaikan diri dengan cara permainan saya,'' katanya.

Kuala Lumpur sedang menunggu seorang pemain import, Abu Bakar Balarde Mallam yang akan digandingkan dengan Paidiyah.

Abu Bakar belum tiba di negara ini kerana menghadapi masalah penerbangan dari negaranya, Nigeria.

Musim lalu, Paidiyah digandingkan dengan pemain import dari Argentina, Norberto Dario Decoud dan pemain Brazil, Adilson Roque.

Bagaimanapun, kontrak kedua-dua pemain itu tidak disambung oleh KLFA musim ini.

Kuala Lumpur kini hanya mempunyai tiga penyerang iaitu K. Nanthakumar, Nizaruddin Ahmad selain Paidiyah.

''Selain misi peribadi, saya mahu penuhi harapan pengurusan pasukan terutama jurulatih Chow Kwai Lam untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala dalam pertandingan Liga Malaysia musim ini,'' tambahnya.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FVaS4j1F © Utusan Melayu (M) Bhd

K. Lumpur sedia bantu Kim Tu

ARKIB : 08/02/1998
KEGELISAHAN pemain lincah Liew Kim Tu mencari pasukan sebelum mengikat kontrak bermain dalam liga Jerman Mei ini, berakhir apabila Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) sanggup menawarkan kontrak menghadapi kempen Perdana Satu bermula April ini AMRAN MULUP melaporkan.

Perkara itu diumumkan oleh Presidennya Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob sewaktu Majlis Rumah Terbuka menyambut Hari Raya Aidilfitri di pejabat KLFA semalam.

Menurut Megat, KLFA bersedia menawarkan kontrak kepada Kim Tu biarpun untuk satu tempoh yang singkat.

''Saya faham dengan dilema yang dihadapi oleh Kim Tu. Memandangkan dia hanya akan beraksi dalam Liga Jerman Mei ini tiada masalah buat KLFA menawarkan dia tempat untuk satu tempoh yang terlalu singkat,'' ujar Megat dalam sidang akhbar selepas itu.

Menurutnya, kontrak Kim Tu secara automatik akan tamat dengan Kuala Lumpur jika kelab divisyen empat Jerman itu menawarkan kontrak secara rasmi kepada pemain itu.

Kim Tu penyerang utama skuad Kuala Lumpur musim lalu mendapat tawaran bermain dalam divisyen empat di Jerman mewakili kelab Schuttorf 09 FC selepas menghadiri sesi ujian di kelab itu pada 21 Januari lalu.

Bagaimanapun, kelab Jerman itu dijangka mengambil bekas pemain Johor dan Perak pada Mei ini.

Dia sebelum ini melahirkan rasa gelisah tiada pasukan yang bersedia menawarkan tempat sebelum dia beraksi di Jerman Mei ini.

Megat menjelaskan, keputusan mengambil semula Kim Tu untuk satu tempoh yang singkat diambil kerana menghormati cita-cita besar pemain itu mahu menimba pengalaman beraksi di Eropah.

''Dia bermain baik dengan Kuala Lumpur musim lalu. Dengan peluang yang menyusul kita tidak mahu memyekat dia mendapat pendedahan di luar negara.

''Kalau dia tidak ada nanti, kita akan tetap mencari pengganti yang sesuai dan buat masa ini dia akan mewakili Kuala Lumpur,'' katanya.

Sementara itu, menurut Megat lagi KLFA akan memohon bantuan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membiayai perbelanjaan skuad itu menghadapi kempen dalam Perdana Satu April ini.

Menurut Megat, musim lalu DBKL menghulurkan bantuan sebanyak RM150,000.

''Kalau boleh untuk kempen musim ini saya harapkan DBKL sedia menyumbang lebih dari apa yang diberikan musim lalu,'' jelasnya.

Sehubungan dengan itu juga beliau turut mengumumkan dua syarikat swasta musim lalu iaitu Malaysian Elektrical Company (MEC) dan Cosway akan terus menghulurkan bantuan kepada persiapan KLFA menghadapi kancah saingan 1998.

Pembiayaan ini tidak termasuk geran yang akan diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan diumumkan pada majlis mesyuarat badan induk itu hari ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FVMdseLu © Utusan Melayu (M) Bhd

Muka baru mesti bersaing

ARKIB : 07/02/1998
JURULATIH skuad bola sepak Kuala Lumpur, Chow Kwai Lam berkata, empat pemain baru dari negeri lain yang diambil oleh pasukan itu musim ini harus menggandakan usaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bagi kempen Liga Malaysia yang bermula April ini, JOHARI SHAWAL melaporkan.

Katanya, kehadiran Abdul Ghani Malek, Azlan Meri, M. Chandran dan Tan Cheng Hoe ke dalam skuad itu tidak semestinya menjamin kedudukan masing-masing sebagai pemain utama. Sebaliknya, mereka perlu berusaha keras untuk merebut tempat kerana setiap posisi sudah ada pemain.

''Memang benar kita ambil pemain baru bukan untuk duduk di bangku simpanan tetapi mencurahkan pengalaman membantu pasukan baru.

''Kita beri kepercayaan kepada mereka untuk membantu pasukan ini tetapi mereka harus merebut tempat itu,'' kata Kwai Lam selepas mengendali skuad Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Menurut jurulatih itu, kedudukan mereka sebagai pemain utama turut akan ditentukan berdasarkan persembahan masing-masing menerusi latihan dan beberapa perlawanan persahabatan.

''Jika mereka menunjukkan prestasi yang baik dan memuaskan, mungkin mereka akan mendapat tempat,'' katanya.

Abdul Ghani, bekas pemain Perak di posisi pertahanan bersama pemain Pulau Pinang, Cheng Hoe, bekas bek Selangor, Chandran dan pemain tengah Melaka, Azlan diambil atas dasar kemahiran tinggi dan pengalaman masing-masing.

Kehadiran mereka musim ini diharap dapat membantu meningkatkan kemantapan pasukan selain mengekalkan prestasi pasukan musim lalu.

Kuala Lumpur musim ini masih mengekalkan pemain lama yang kebanyakannya pemain utama skuad itu diketuai bekas pemain kebangsaan, M. Ramachandran, Liew Kim Tu, Zolkipli Samion, Mohd. Nazim Din, P. Saravanan, Paidiya Rau, Zefus Othman, Amirnuddin Ahmad selain penjaga gol Azmin Azram Aziz.

Pemain pertahanan importnya dari Nigeria, Adebisi Ogunsanya masih dalam percutian dan dijangka kembali ke Kuala Lumpur Ahad ini bersama pemain import baru, Abu Bakar Balarde Mallam.

''Saya lihat pasukan musim ini baik berbanding musim lalu tetapi saya belum lihat lagi keupayaan dan kemantapan pasukan.

''Kita akan adakan beberapa perlawanan persahabatan untuk melihat keupayaan mereka,'' katanya.

Skuad itu akan diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan termasuk menentang kelab dari Republik Czech, Slovan Bratislava dan Ujpesti Torna Eglyte dari Hungary di Stadium KLFA dalam tempoh dua minggu ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FVIXZRPB © Utusan Melayu (M) Bhd