Rabu, 5 Mei 2021

Hodak puji Josue

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



JOSUE meraikan jaringan pada perlawanan Liga Super Malaysia menentang Penang FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak memuji persembahan ketua pasukannya, Paulo Josue yang berjaya meledak hatrik ketika pasukannya membenam cabaran Penang FC 3-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam kelmarin.

Malah, beliau turut menyifatkan gol pertama yang terhasil menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti amat menakjubkan dari tonggak import Brazil itu.

"Josue jaringkan sepakan percuma yang cantik dan sebab itu mengapa kami ambilnya dan dia sentiasa berbahaya. Gol pertamanya luar biasa dan gol itu cukup cantik.

"Dia kemudiannya bekerja keras untuk raih dua gol lagi dengan dibantu rakan sepasukan Romel Morales. Dia dapat jaringkan tiga gol yang cukup baik," katanya yang mengakui anak buahnya mula menunjukkan peningkatan.

Sementara itu, jurulatih Penang FC, Tomas Trucha kecewa dengan kekalahan itu namun mengakui jaringan Josue itu cukup berkualiti dan terbaik.

"Selepas lawan dengan Terengganu FC, kami kehilangan ramai pemain akibat cedera dan juga keletihan. Aksi malam ini (kelmarin) bukan yang terbaik dari kami tetapi kami terima kekalahan ini dengan hati terbuka.

"Saya akui sepakan percuma yang cantik dari Josue yang mengejutkan kami. Pemain cuba bangkit tapi kami terus dikejutkan dengan gol kedua lawan serta ketiga, walaupun satu ketika kami berjaya rapatkan kedudukan.

"Apapun, KL City sebuah pasukan yang baik dan memang sukar buat kami untuk bermain dengan mereka," katanya.SUMBER MY METRO ONLINE

Disiarkan pada: Mei 5, 2021 @ 6:12pm

Ahad, 4 April 2021

KL City, Sabah hanya mampu ‘gegar’ tiang dan palang

Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

3 April 2021, 11:31 pm



KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City (KL City) gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri dan bermain di hadapan penyokong sendiri apabila sekadar meraih keputusan seri tanpa jaringan dengan Sabah.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras tuan rumah berpeluang membuka tirai jaringan namun tandukan pertahanan, Giancarlo Gallifuoco sekadar melewati palang gol meskipun tiada cabaran daripada pemain lawan pada minit ke-36.

Dua minit selepas itu, giliran Sabah dihidangkan peluang keemasan untuk memperolehi gol namun rembatan pemain tengah Indonesia, Saddil Ramdani hanya sedikit melepasi palang gol tuan rumah.

Untuk aksi babak pertama, kedua-dua pasukan hanya mampu melakukan satu percubaan tepat ke gawang gol lawan masing-masing.

Bersambung babak kedua, percubaan kapten KL City, Paulo Josue pula sekadar singgah di tiang gol yang dikawal Robson Rendy pada minit ke-58.

Tidak mahu mengalah, giliran skuad bimbingan Kurniawan Yulianto kembali membalas serangan itu dengan menggegar palang pasukan tuan rumah menerusi rembatan kencang pemain tengah Korea Selatan, Tae-su Park pada minit ke-79.

SUMBER-UM ONLINE 

Sabtu, 3 April 2021

Orang KL tak minat bola?



PEMAIN Kuala Lumpur City sudah bersedia untuk menerima kunjungan Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Oleh SUFIAN HADI SOJAK

3 April 2021, 2:45 pm

PETALING JAYA: Ketika 2,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) berpusu-pusu dan sanggup menunggu hampir empat jam di dalam kereta demi mendapat kebenaran masuk ke stadiu, namun sebaliknya berlaku kepada Kuala Lumpur City (KL City) City.

Setakat semalam, hanya 20 peratus tiket telah terjual daripada 1,450 keseluruhan untuk aksi Liga Super melibatkan pasukan itu menentang Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Keadaan tersebut sekali gus menimbulkan persoalan ke mana perginya penyokong skuad The City Boys sedangkan pasukan mereka sudah berwajah baharu musim ini.

Selain lebih setahun tidak ke venue perlawanan, KL City juga berjaya beraksi semula di pentas Liga Super setelah semusim berada dalam Liga Perdana, namun semua itu belum dapat mengujakan penyokong mereka.

Esok (hari ini) penonton akan dapat merasai semula kehangatan bola sepak di ­stadium selepas lebih setahun tidak dibenarkan masuk.

Diharap semua penonton mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan dan sama-sama kita menjaganya dengan baik,” kata Ketua Pegawai Operasi KL City, Stanley Bernard ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.


STANLEY BERNARD

Dua perlawanan Liga Super iaitu pertemuan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang ­Melaka United semalam, dan KL City bertemu Sabah dijadikan projek perintis bagi kemasukan penonton dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kedua-dua perlawanan tersebut penting untuk menentukan apakah saingan Liga M selepas ini boleh mendapat kelulusan membawa masuk penonton ke stadium.

Perlawanan itu akan digunakan sebagai proses penilaian oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Mengulas lanjut, Stanley mengharapkan akan ada pe­ningkatan penyokong KL City ke stadium pada perlawanan seterusnya dengan sasaran sebanyak 1,000 penonton.

Saya rasa, 20 peratus itu amaun yang logik bagi KL City. Apa pun kami akan berusaha meningkatkan keyakinan penyokong untuk hadir ke stadium.

Kami sasarkan 1,000 penyokong kerana kami masih dalam peringkat untuk ­me­yakinkan mereka,” kata Stanley.

Selepas mengharungi lima perlawanan, KL City kini me­nduduki tangga keenam liga dengan mengumpul tujuh mata, dua mata mengatasi jiran mereka, Selangor yang dianggap gergasi liga tempatan.SUMBER-UM ONLINE

Rabu, 10 Mac 2021

Da Silva wira KL City FC

MyMetroTopic



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) memberikan 'tunjuk ajar' kepada skuad UiTM apabila meraih kemenangan pertama menerusi jaringan 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan yang tampil dengan misi mahu mencipta kemenangan selepas tewas pada perlawanan pertama dilihat kurang menyengat pada awal babak perlawanan apabila tiada gerakan berbahaya dilakukan untuk mencipta gol.

Anak buah Bojan Hodak akhirnya berjaya mencetak gol pertama apabila penyerang importnya Dominique Da Silva bijak menyempurnakan hantaran Irfan Zakaria sekali gus menyaksikan KL City FC berada di depan pada minit 14.

Walaupun kedua-dua pasukan cuba mengatur serangan namun tiada sebarang gol dicipta kedua-dua pasukan hingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bersambung menyaksikan skuad kendalian Frank Bernhardt dilihat lebih agresif memburu gol penyamaan menerusi serangan bertali arus ke kubu lawan.

Serangan berbahaya pasukan pelawat dilihat gagal diterjemah dengan jaringan gol sekali gus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

DARREN (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan. - FOTO Asyraf Hamzah

Sementara itu, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan skuad yang ditunjangi pemain tempatan iaitu PJ City FC sekadar seri 2-2 menentang Melaka United FC.

Kesemua empat gol dijaringkan pada babak kedua selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan.

S Kumaahran meletakkan pelawat di depan pada minit ke-55 menerusi tandukan jarak dekat tetapi Darren Lok berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-70.

Darren menyudahkan penalti untuk kedudukan 2-1 pada minit ke-85 dan ketika kemenangan hampir berpihak tuan rumah, Raafi Nagorgani tertampan bola ke gawang sendiri pada masa kecederaan sekaligus kedua-dua pasukan terikat 2-2.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 11:50 PM