Rabu, 30 September 2020

KL mahu juarai Liga Perdana

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas berjaya mengesahkan tiket ke saingan Liga Super musim depan, pasukan Kuala Lumpur kini mengalih tumpuan dengan misi memburu kejuaraan Liga Perdana.

Skuad Warga Kota dan Pulau Pinang yang akan beraksi di Liga Super akan bersaing sesama sendiri untuk menentukan pasukan mana yang lebih layak menjulang trofi Liga Perdana dengan masing-masing hanya dipisahkan tiga mata.

Lantas berbaki dua aksi untuk ditamatkan, Kuala Lumpur yang berada di tangga kedua dengan 20 mata mahu memungut mata penuh dalam dua aksi itu sambil berharap Pulau Pinang kehilangan mata.

Menurut pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, beliau gembira dengan kejayaan layak ke Liga Super kerana pemain pernah berjanji pada awal musim untuk kembali ke Liga Super selepas tersingkir pada musim lalu.

Katanya, baki perlawanan akan dimanfaatkan sebaiknya dan cuba merampas tangga pertama daripada skuad Harimau Kumbang.

"Berbaki dua perlawanan lagi, kami akan cuba mendapatkan enam mata maksimum untuk cuba mengejar kedudukan pendahulu liga.

"Kita tengok bagaimana peluang kita namun secara keseluruhan, saya berpuas hati kerana kita akan ke Liga Super, musim depan," katanya.

Namun, Nidzam kurang berpuas hati dengan kerapuhan di barisan pertahanan terutamanya ketika aksi menentang Selangor II minggu lalu yang menyaksikan anak buahnya menang 5-4."Ketiadaan Paulo Josue dan Shukor Adan memang buatkan aksi kami kucar kacir kerana tiada jeneral yang boleh bagi arahan di atas padang dan kami akan analisis perlawanan ini sepenuhnya kerana terkejut bagaimana lawan boleh dapatkan tiga gol dalam tempoh yang singkat.

"Tidak pernah kami bolos empat gol dalam satu perlawanan setakat ini namun saya gembira pengalaman yang ada pada Indra Putra Mahayuddin menjadi penyelamat untuk kira raih kemenangan," katanya.Selepas ini, Kuala Lumpur akan meneruskan aksi liga dengan menentang Perak II di Stadium Manjung, Jumaat ini manakala Pulau Pinang menanti kunjungan Kelantan United di Stadium Bandaraya juga pada hari sama.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 9:09 PM

Khamis, 17 September 2020

Ibarat final Liga Perdana



PERTEMBUNGAN Pulau Pinang dan Kuala Lumpur esok ibarat final Liga Perdana.

Oleh Norzie Mohamed Khasbi

17 September 2020, 8:46 pm

KUALA LUMPR: Pertembungan dua pasukan teratas, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur di Stadium Bandaraya esok ibarat final Liga Perdana dengan tiga mata bakal meletakkan pemenang berada dalam keadaan selesa bergelar juara.

Berbekalkan rekod tanpa kalah yang dimiliki kedua-dua pasukan selepas tujuh perlawanan, sudah pasti aksi Pulau Pinang dan Kuala Lumpur akan berlangsung dengan penuh sengit serta sukar diramal.

Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira tidak menafikan banyak elemen menarik bakal terjadi apabila skuad kendaliannya melayani kunjungan Kuala Lumpur di laman sendiri sambil menghormati kekuatan lawan yang dianggap punyai kualiti setanding pasukan CIMB Liga Super.

Namun itu tidak bermakna Manzoor gentar dengan keupayaan dimiliki skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusoff ini sebaliknya skuad Harimau Kumbang sudah bersedia dengan perancangan tersendiri bagi menjerat Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur ini sebenarnya pasukan setaraf Liga Super jika melihat kualiti serta pemain yang ada pada mereka tetapi kami akan berjuang habis-habisan dalam mendapat tiga mata berharga.

Kemenangan ini bukan sahaja meletakkan kami semakin hampir dapatkan slot ke Liga Super malah meletakkan dalam kedudukan baik bergelar juara Liga Premier.

Saya juga semakin gembira banyak peningkatan ditunjukkan pasukan terutama sejak kehadiran Lee Chang-hoon yang boleh bermain dalam dua perlawanan lalu kerana banyak membantu Endrick dan Casagrade di bahagian atas,” katanya.

Dalam masa sama, Manzoor juga mahu memburu kemenangan sebagai tanda terima kasih kepada penyokong-penyokong setia Pulau Pinang yang tidak pernah jemu di belakang pasukan.

Malah yang membuatnya beliau terharu adalah sambutan penyokong-penyokong Pulau Pinang yang sanggup datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada minggu lalu bagi meraikan pemain dan pegawai selepas menang dengan Johor DT II di Larkin.

Memang saya berasa sedih juga penyokong tidak boleh hadir ke Bandaraya pada Sabtu ini untuk berikan sokongan kerana jika dilihat di media sosial, begitu banyak sekali komen penyokong terhadap kami.

Jika kami berjaya mendapatkan kemenangan dengan Kuala Lumpur, saya mahu hadiahkan tiga mata ini kepada penyokong dan tidak boleh dilupakan ada antara mereka berkorban masa serta tenaga untuk datang ke lapangan terbang bertemu dengan kami, sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pertahanan berpengalaman Kuala Lumpur, Shukor Adan, tidak mahu rakan-rakannya terlalu tertekan mahu mencari kemenangan sebaliknya fokus hanya untuk mengelakkan kekalahan kepada Pulau Pinang.

Jika mereka berjaya mendapatkan pulang satu mata, ia sudah mencukupi kepada Kuala Lumpur bagi memastikan saingan masih terbuka kepada kedua-dua pasukan memburu kejuaraan Liga Premier.

Paling utama selepas perlawanan di sana, kita mesti cuba membawa sebarang mata namun melihat kepada prestasi mutakhir Pulau Pinang dalam beberapa perlawanan sebelum ini, memang kami tidak boleh ambil mudah perlawanan ini.

Kekuatan Pulau Pinang memang terletak kepada pemain importnya yang telah bermain di Liga Super dan apabila mereka di Liga Pemier, itu tidak memberikan mereka banyak masalah untuk beraksi dengan baik.

Selain itu, pemain tempatan Pulau Pinang juga ramai yang saya kenali dan mereka semuanya berkualiti serta berpengalaman, jadi kombinasi ini antara ramuan yang menjadikan mereka sebuah pasukan yang wajar dihormati,“ katanya.

Lain-lain perlawanan yang berlangsung pada minggu ini ialah membabitkan Sarawak United FC dan Kelantan United FC di Stadium Negeri pada Jumaat manakala Perak II pada Sabtu, melayani kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Pada Ahad, pasukan di tangga ketiga, Terengganu FC II menentang UKM FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu manakala Selangor II berdepan JDT II di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya selain Kuching FA dan Kelantan di Stadium Negeri, Kuching.SUMBER-UM ONLINE

Isnin, 14 September 2020

Kuala Lumpur fokus capai sasaran

 SUKAN



KONE (kiri) berjaya meledak dua gol buat Kuala Lumpur ketika menewaskan TFC II pada aksi Liga Premier, Sabtu lalu. - FB KUALA LUMPUR HAWKS

Kuala Lumpur fokus capai sasaran

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH

14 September 2020, 7:42 pm

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Muhammad Nidzham Adzha Yusoff enggan menjadikan pertemuan menentang Pulau Pinang sebagai penentu kepada kejuaraan Liga Premier musim ini.

Bagi Nidzham, beliau lebih berminat memberikan fokus sepenuhnya untuk mencapai sasaran pihak pengurusan iaitu layak ke pentas Liga Super musim depan sebagai dua pasukan terbaik Liga Premier.

Saya tidak fikirkan apa-apa mengenai kejuaraan liga walaupun ramai mengatakan aksi dengan Pulau Pinang selepas ini umpama penentu kejuaraan. Matlamat saya sama seperti ditetapkan pengurusan iaitu layak ke Liga Super 2021,” katanya.Dalam masa sama, Nidzham memuji kecemerlangan barisan pemainnya selepas menang besar 4-1 ke atas pasukan tangga ketiga, Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi ketujuh Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu lalu.

Empat gol Kuala Lumpur diperoleh menerusi dua jaringan Kouassi Francis Kone dan masing-masing satu daripada Paulo Josue serta Zhafri Yahya.

PARA pemain Kuala Lumpur meraikan kejayaan menewaskan TFC II 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. – FB KUALA LUMPUR HAWKS

Kami berjaya menghukum lawan yang bermain dengan skuad tidak seimbang kerana menggunakan empat pemain import di bahagian serangan.

Kami telah mengkaji aksi pasukan lawan yang menggunakan empat pemain tempatan di barisan pertahanan, jadi kami mengambil kesempatan daripada aspek itu.

Bagaimanapun, masih ada aspek yang perlu diperbaiki dalam setiap perlawanan,” jelas Nidzham.

Kemenangan itu menyaksikan Kuala Lumpur kekal menghuni tangga kedua menerusi kutipan 15 mata sama dengan Pulau Pinang yang kini menerajui carta Liga Premier berdasarkan perbezaan jumlah jaringan gol.


Pertemuan Kuala Lumpur dengan Pulau Pinang pada Sabtu ini amat menarik untuk disaksikan kerana kedua-dua pasukan masih belum mencatatkan kekalahan daripada tujuh perlawanan setakat ini. SUMBER– K! ONLINE