MyMetroArena

Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my
PENGENDALI skuad Kuala Lumpur,
Nidzam Adzha Yusoff berharap kemenangan 2-1 ke atas Kedah pada perlawanan
persahabatan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Khamis lalu menjadi dorongan
serta motivasi dalam usaha berterusan bagi mengukuhkan kekuatan pasukan.
Bekas jurulatih Kedah dan Melaka
ini berkata skuadnya kini sedang berusaha meningkatkan tahap keserasian bagi
membentuk skuad baharu 'The City Boys' yang lebih mantap pada musim 2020 ini.
"Melihat pada perkembangan
perlawanan ini, saya yakin tahap keserasian antara semua pemain termasuk pemain
baharu semakin baik dan usaha berterusan ini mampu meningkatkan lagi corak
persefahaman yang kita harapkan dalam pasukan."
"Kami mahu terus bekerja
keras dan menimba sebanyak mana pengalaman yang ada sepanjang aksi pramusim ini
dan setiap perlawanan yang tempuhi seperti di Kedah ini adalah 'ilmu' penting
dan berharga untuk semua pemain."
"Pasukan kami ini baharu di
bentuk dan dengan usaha serta semangat yang ditunjukkan oleh semua pemain
setakat ini melihatkan kesungguhan dalam persiapan yang sedang dilakukan."
Menyentuh mengenai aksi anak
buahnya di Stadium Darul Aman, Nidzam berpuas hati dengan semangat serta usaha
gigih yang ditunjukkan semua pemain sepanjang perlawanan.
"Saya lihat beberapa aspek
penting di mana kita memanfaatkan dua peluang gol oleh Zhafri Yahya dan Francis
Kone hasil kesilapan pihak lawan dan ini membangkitkan lagi semangat semua
pemain."
"Namun pada masa yang sama
kami juga perlu memperbaiki kembali kelemahan terutama kesilapan benteng
pertahanan selepas mendahului perlawanan tersebut." katanya.
Kuala Lumpur bakal meneruskan
perlawanan pramusim berdepan Selangor pada 15 Februari dan Pahang pada 21
Februari.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 8 Februari 2020 @ 2:10 PM