ARKIB : 19/03/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Dua jurulatih pasukan Liga Perdana melahirkan rasa terkilan dengan pemberian kemenangan 3-0 dan tiga mata kepada lapan pasukan lawan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang belum menentangnya gara-gara larangan penyertaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mulai Sabtu lalu.
Razip Ismail yang kini menerajui Kuala Lumpur di tangga keempat setelah anak buahnya mengumpul 10 mata, turut mahu masalah tunggakan premium insurans yang menjadi punca larangan ke atas MBJB itu diselesaikan seberapa segera.
Kata Razip, bekas bek negara kepada Utusan Malaysia, semalam: "Memang Kuala Lumpur menang 1-0 dengan mereka tetapi pasukan lain yang tidak bermain lagi, untunglah... alih-alih dapat tiga mata dan kemenangan percuma padahal belum tentu menang, kalah atau seri kalau beraksi 90 minit.
"Saya kurang bersetuju dengan larangan yang dikenakan pada MBJB ketika liga berjalan. Ia agak tidak adil kepada kami dan pasukan yang sudah menentang mereka malah membebankan kerana jaringan gol mampu membawa perbezaan dalam kedudukan liga," katanya.
Razip bagaimanapun berpendapat, tiada gunanya untuk Kuala Lumpur mengemukakan bantahan terhadap pemberian tiga mata dan kemenangan 3-0 itu kepada lapan lagi lawan MBJB sejak Jumaat lalu iaitu Proton, Angkatan Tentera, Shahzan Muda, Felda United, Melaka, T-Team, PKNS dan Johor.
MBJB dilarang bermain dalam Liga Perdana setelah didapati gagal menjelaskan premium insurans berjumlah RM71,092 termasuk bagi pasukan Piala Presidennya setelah diberikan tempoh beberapa kali termasuk tarikh akhir oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Jumaat lalu.
Sejak 6 Januari, MBJB dikalahkan Kuala Lumpur, Sabah dan Harimau Muda, 1-0, 2-0 dan 1-0, mengikat Sarawak 0-0 dan mengalahkan Sinar Dimaja Mai Sarah 2-1 dengan kesemua keputusan ini kekal namun larangan itu bererti baki perlawanannya mulai Isnin lalu dimenangi semua lawan dengan 3-0 dan diberikan tiga mata.
Kelmarin, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad memberitahu, pasukan yang telah menentang MBJB berhak mengajukan bantahan rasmi kepada jawatankuasa berkenaan sekiranya masih tidak berpuas hati dengan keputusan percuma Liga Perdana itu akibat larangan tersebut.
Jurulatih Sinar Dimaja Mai Sarah Kepala Batas, Azlan Johar berkata, pasukannya terpaksa akur dengan segala keputusan jawatankuasa FAM itu sekalipun agak kesal kerana isu insurans tersebut terpaksa diheret ketika perlawanan liga sudah berjalan dan memberikan kesan yang tidak sepatutnya kepada pasukan lain.
"Kami terpaksa terimalah walaupun saya rasa kurang adil dan sudah suntuk kerana memasuki pertengahan liga dan kami sudah kalah 2-1 dalam perlawanan 90 minit, bukan macam pasukan yang belum bermain," kata bekas penyerang Selangor era 80-an hingga 90-an ini.
Kelima-lima pasukan yang sudah menentang MBJB dalam pusingan pertama Liga Perdana ini bagaimanapun akan turut menikmati kemenangan 3-0 dan tiga mata percuma pada perlawanan pusingan kedua mulai 18 Mei depan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz56b8w6Lz5
© Utusan Melayu (M) Bhd