PEMAIN Kuantan, Ljubo Baranin
(tengah) cuba melepasi pemain pertahanan Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga
Perdana di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini. Kuala Lumpur menang 6-3.
14 Julai 2017 11:35 PM
1
KUALA LUMPUR 14 Julai – Kuala
Lumpur mengukuhkan kedudukan di tempat teratas Liga Perdana apabila berpesta
gol di Kuantan manakala pencabar terdekatnya sebelum ini Negeri Sembilan
sekadar seri malam ini.
Kuala Lumpur yang dikendalikan
Fabio Magrao menewaskan Kuantan FA 6-3 di Stadium Darul Makmur dengan bekas
pemain Selangor, Guilherme de Paula meledak hatrik apabila menjaringkan gol
pada minit ke-69, minit ke-78 dan minit ke-84. Dua lagi gol dijaringkan Paulo
Josue pada minit ke-53 dan minit ke-80 dan Muhamad Hafiz menyumbat gol pada
minit ke-17.
Negeri Sembilan, yang sebelum
ini sekadar tercicir jumlah gol untuk menghuni tempat kedua liga, turun ke anak
tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan MISC-MIFA di Stadium Proton,
Tanjung Malim.
Dalam pada itu, Terengganu naik
ke anak tangga kedua liga selepas pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu
membelasah Perlis 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu.
Kesemua jaringan tersebut
dihasilkan menerusi percubaan Gabiel Davis pada minit ke-27, Tchetche Hermann
minit ke-43, Lazaro minit ke-48 dan Mohd. Ridzuan pada minit ke-80.
Dalam pada itu, PKNP FC gagal
meraih kemenangan di laman sendiri selepas tumpas kepada Johor Darul Ta’zim II
(JDT II) 2-1 di Stadium Perak walaupun skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu
terlebih dahulu membuka tirai jaringan.
Tuan rumah berada di depan
menerusi jaringan Ahmad Sukri Ab. Hamid pada minit ke-44 tetapi gagal
mempertahankan kelebihan selepas rehat apabila Samuel Catalino menjaringkan gol
penyamaan pada minit ke-63 sebelum Barrales meledak gol kemenangan pada minit
ke-78.
Dua lagi aksi Liga Perdana
menyaksikan PDRM terikat 1-1 menentang ATM di Stadium Hang Jebat, Melaka
manakala UITM FC tumpas 1-0 kepada Sabah di Stadium UiTM Shah Alam. – UTUSAN
ONLINE
sumberArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kuala-lumpur-ambil-alih-takhta-liga-perdana-1.503032#ixzz4msnLQXdx
© Utusan Melayu (M) Bhd